AM

Kerajaan MADANI Perkasa Agenda Dakwah Berhikmah, Kebajikan Dan Pemerkasaan Wanita

29/01/2026 06:13 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Kerajaan MADANI komited memperkasa agenda dakwah secara berhikmah sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pembangunan insan dan kesejahteraan masyarakat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dibincang ketika beliau menerima kunjungan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli hari ini, yang turut menyentuh beberapa isu strategik yang perlu digerakkan secara lebih tersusun, menyeluruh dan berkesan selari dengan keutamaan semasa negara.

“Perbincangan ini memberi tumpuan kepada komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkasa agenda dakwah yang berhikmah, memperkukuh kebajikan rakyat serta memantapkan pemerkasaan wanita sebagai teras penting pembangunan insan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau juga berkata Kerajaan MADANI akan memastikan setiap usaha itu dilaksanakan dengan kesungguhan, keselarasan dasar serta keberanian melakukan penambahbaikan demi menjamin kesejahteraan rakyat selain membina masa depan negara yang lebih adil dan berperikemanusiaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2518283