EKONOMI

Desatera Bakal Umum Pelan Pengembangan Perniagaan Baharu Pada Jun

29/01/2026 09:35 PM

BANGI, 29 Jan (Bernama) -- Syarikat perkhidmatan makanan dan sokongan, Desatera Sdn Bhd sedang membangunkan inisiatif pengembangan besar-besarannya dengan hala tuju perniagaan baharu akan diumumkan pada Jun ini, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Feizal Nor Nurbi.

Beliau berkata ini termasuk beberapa perancangan kukuh dan seiringan dengan usaha syarikat itu meninjau peluang mengembangkan perniagaan terasnya.

“Ini antara perkara yang sedang kami teliti. Kami mungkin dapat berkongsi maklumat lebih teliti jika anda bertanyakan mengenainya pada Jun nanti,” katanya pada sesi prebiu Nostalgia Ramadan @ Randau Rasa Bangi di sini, hari ini.

Feizal berkata Desatera, penyumbang utama kepada Brahim’s Dewina Group of Companies (Brahim’s) berserta Brahim’s Airline Catering dan Brahim’s Food Services, sejak sekian lamanya menumpukan penghantaran perkhidmatan makanan.

Bagaimanapun, syarikat itu kini melihat potensi dalam penyepaduan perkhidmatan makanan dengan pengeluaran makanan.

Desatera Sdn Bhd yang juga antara syarikat teras di bawah Brahim’s, menceburi khusus dalam perkhidmatan makanan berskala besar, terutamanya katering bagi organisasi atau institusi besar.

Syarikat itu lebih dikenali sebagai antara penyedia perkhidmatan makanan utama bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) -- peranan digalasnya sejak hampir tiga dekad sejak memulakan projek rintisnya pada 1996.

Mengulas kontrak katering atau sajian makanan syarikat itu yang lama dengan ATM, Feizal berkata perjanjian awal sepatutnya tamat pada April 2023, namun telah dilanjutkan atas dasar interim.

“Tempoh interim kontrak ini akan tamat pada Jun 2026,” katanya.

Pada awal bulan ini, Pengerusi Eksekutif Brahim’s, Datuk Seri Ibrahim Ahmad berkata syarikat itu berhasrat untuk mengembangkan kemudahan katering sajian penerbangannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada tahun ini bagi memenuhi peningkatan permintaan susulan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Beliau menjangkakan lebih banyak syarikat penerbangan, terutama dari China, akan melakukan perjalanan ke Pulau Pinang tahun ini, sekali gus berkemungkinan melonjakkan jumlah kehadiran pelancong ke negeri itu.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2518379