MANILA, 28 Jan (Bernama-PNA) -- Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) menegaskan bahawa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mesti bertindak secara “cekap” dan “tidak selektif” dalam menegakkan serta melaksanakan undang-undang antarabangsa, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Sebelum sesi debat terbuka yang dipengerusikan UNSC pada Isnin, ASEAN menyatakan bahawa kedaulatan undang-undang kini dicabar “di hampir semua peringkat,” selain menekankan keperluan mendesak untuk menegakkan undang-undang antarabangsa, termasuk Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Konvensyen PBB mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS).
“ASEAN menekankan kepentingan Majlis Keselamatan untuk bertindak secara cekap, konsisten, telus dan tidak selektif, khususnya dalam pelaksanaan undang-undang antarabangsa, bagi mengekalkan kredibilitinya dan melindungi keamanan serta keselamatan antarabangsa secara berkesan,” menurut kenyataan ASEAN yang dibacakan oleh Wakil Tetap Filipina ke PBB, Enrique Manalo.
Blok itu menyatakan bahawa Piagam PBB, termasuk prinsip kesamarataan kedaulatan negara serta penghormatan terhadap kedaulatan dan keutuhan wilayah, kekal sebagai “asas penting” kepada keamanan dan kemakmuran global.
Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres pada acara sama telah membangkitkan pelanggaran terang-terangan terhadap Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa, sambil menyatakan bahawa “kedaulatan undang-undang sedang digantikan oleh undang-undang rimba” di seluruh dunia.
Merujuk kepada situasi di Semenanjung Gaza dan Ukraine, Guterres berkata kedaulatan undang-undang kini diperlakukan seperti “menu à la carte,” dengan negara memilih peraturan yang mahu dipatuhi.
Beliau berkata pelanggaran undang-undang antarabangsa mewujudkan duluan berbahaya dan mendorong negara lain “bertindak sesuka hati, bukannya mengikut kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa.”
“Tindakan ini menimbulkan ketidakpercayaan dan perpecahan serta menggugat keyakinan rakyat terhadap keupayaan kita mencari penyelesaian bersama,” katanya.
-- BERNAMA-PNA