GAYA HIDUP

"Cakenic": Piknik Kek Jadi Trend Santai Tengah Bandar

26/01/2026 11:33 AM

Oleh Atira Khalisha Nor Adnan

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) --  Jika sebelum ini menikmati kek dan pastri sambil menghirup kopi panas sering dikaitkan dengan suasana kafe, kini pengalaman itu beralih ke ruang terbuka apabila aktiviti berkelah bertemakan kek atau dikenali sebagai ‘cakenic’ semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat bandar.

Gabungan perkataan cake dan picnic, konsep berkelah luar kebiasaan ini menghimpunkan pencinta kek dan pastri untuk berkongsi hasil air tangan masing-masing di bawah langit terbuka, sekali gus mencipta suasana santai seakan-akan “buffet kek terbuka”.

Dengan hamparan tikar piknik, meja panjang dan dekorasi menarik sebagai pentas, setiap peserta hanya perlu membawa sebiji kek untuk dikongsi bersama-sama, menjadikan acara itu bukan sekadar sesi makan-makan, malah ruang berinteraksi dan berkenalan.

Memasuki edisi ketujuh, Cakenic: A Garden Picnic kali ini tampil dengan kelainan apabila mengetengahkan tema klasik, bukan sahaja melalui busana peserta yang mengenakan pakaian Melayu tradisional, malah turut diserikan dengan hiasan kek berinspirasikan kuih-muih Melayu.

pic-2

Lebih 300 peserta berpeluang menikmati pengalaman berpiknik berlatarkan Menara Kuala Lumpur baru-baru ini, sekali gus menghidupkan nostalgia berkelah ala klasik dalam sentuhan moden, kata penganjur Syahirah Mohamad Kasim.

Syahirah yang juga pengasas Vanillicious Baking Studio berkata cara itu bukan sahaja unik tetapi juga menjadi platform terbaik untuk memperluas jaringan apabila pembuat kek dari pelbagai negeri dapat berkumpul dan berinteraksi di satu lokasi.

“Kami mahu satukan mereka yang minat ‘baking’ di satu tempat kerana di sinilah ruang untuk melepaskan tekanan selepas penat bekerja. Secara tidak langsung, acara ini turut menarik minat peserta untuk tampil bergaya kerana setiap edisi mempunyai tema pakaian tersendiri,” katanya.

pic-3

Menurut wanita berusia 33 tahun itu, idea penganjuran “cakenic” tercetus selepas banyak algoritma mengenai konsep itu muncul di media sosialnya, sekali gus menarik minatnya untuk mencuba sesuatu yang belum pernah dianjurkan secara khusus di Malaysia.

Kali pertama menganjurkannya pada Mei tahun lepas di Putrajaya dengan sambutan diterima sangat memberangsangkan, mendorongnya membawa acara itu ke Johor sebagai lokasi seterusnya susulan banyak permintaan di luar ibu kota, selain pernah dianjurkan di Pulau Pinang dan Perak.

"Setakat ini, semua edisi dibuat secara ‘outdoor’, jadi risiko hujan atau cuaca terlalu panas memang cabaran utama, namun alhamdulillah, semuanya masih terkawal,” katanya, sambil memaklumkan yuran penyertaan ditetapkan sebanyak RM68 seorang.

pic-4

Sementara itu, peserta Farah Malina Mansor, 40, berkata dirinya teruja apabila berpeluang mencuri masa bertemu semula rakan-rakan lamanya sejak zaman persekolahan sambil menikmati suasana santai di tengah kota.

Menyertai aktiviti itu bersama-sama dengan empat rakan lain, pembuat kuih tersebut berkata konsep perjumpaan sedemikian rupa secara tidak langsung mengeratkan lagi hubungan sesama mereka selain dapat bertukar pelbagai resipi dan teknik penghasilan kek. 

“Kami berbincang, bertukar idea bersama-sama sehingga lewat malam, daripada pemilihan pakaian, set-up piknik hinggalah dekorasi. Bila buat beramai-ramai dengan kawan-kawan, rasa lebih bermakna,” katanya.

pic-5

Bagi Azzyyati Mohd Yusof, 40, seorang tukang jahit, berpandangan aktiviti santai seperti “cakenic” itu dilihat sebagai terapi emosi khususnya buat wanita yang bekerjaya dan berkeluarga.

“Saya anggap ini sebagai masa untuk diri sendiri. Lupakan seketika kerja di rumah dan nikmati sahaja momen dengan rakan-rakan kerana aktiviti seperti ini mampu memberi kesan positif kepada emosi,” katanya sambil menambah busana bertemakan songket khas yang digayakan pada acara itu dijahitnya sendiri.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2516747