GAYA HIDUP

Pelukis Visual Keluar Zon Selesa, Teroka Seramik Tiga Dimensi

19/01/2026 09:44 AM

Oleh Norhidayyu Zainal

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Selepas sedekad berkarya di atas kanvas, pelukis figuratif kontemporari Amy Nazira mencabar zon selesanya apabila buat kali pertama meneroka medium seramik tiga dimensi, sekali gus membuka lembaran baharu dalam perjalanan seninya.

Menerusi pembabitannya dalam Program Residensi Spatial Creative – Ceramic Zone, artis visual itu diberi peluang berkarya secara langsung di Ilham Ceramic Studio, Langkawi, Kedah, dengan menghasilkan karya yang diinspirasikan oleh alam semula jadi serta sejarah pulau berkenaan.

Pemilik nama sebenar Wan Amy Nazira Abu Bakar, 36, berkata persekitaran Langkawi yang sarat keindahan alam dan kisah sejarah menjadi pencetus idea kepada penghasilan karya seramiknya.

pic-2

“Saya terpengaruh dengan ciri-ciri Langkawi yang mempunyai kisah misteri, sejarah dan alam semula jadi. Dari situ tercetus idea untuk karya seramik. Pengalaman belajar membuat seramik ini sesuatu yang baharu dan sangat menyeronokkan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian selepas perasmian Pameran Spatial Creative – Ceramic Zone dan Pameran Asal Tanah yang dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Shaharuddin Abu Sohot, di sini baru-baru ini.

Amy Nazira merupakan antara 10 seniman pelbagai latar belakang yang menyertai Program Residensi Spatial Creative – Ceramic Zone, sebuah platform intensif untuk meneroka potensi seni seramik kontemporari di Malaysia melalui pengkaryaan langsung di studio profesional di bawah bimbingan artis dan pakar berpengalaman.

pic-3

Kesemua hasil karya peserta dipamerkan menerusi Pameran Spatial Creative – Ceramic Zone dan Pameran Asal Tanah di Balai Seni Negara, di sini hingga 30 April depan.

Karya dihasilkan Amy Nazira ialah siri Muka-Muka yang mengetengahkan motif pinggan sebagai rujukan produk tempatan, Si Penglipur Lara yang berasaskan kisah lisan dan naratif sejarah Langkawi, serta Permata Kedah yang menampilkan simbol burung helang dan pulau-pulau pembentuk landskap Langkawi.

pic-4

Turut terlibat ialah artis visual yang sinonim dengan lukisan pop surrealisme berwarna terang dan sarat imaginasi, Muhammad Shafiq Nordin yang menterjemahkan gaya tersebut ke dalam bentuk tiga dimensi menerusi medium seramik.

Shafiq, 37, yang menjalani program itu di BK Art Studio, Kuala Kangsar, Perak, di bawah bimbingan pakar seramik Ibrahim Mohd Don@Dun selama 10 hari, berkata pengalaman itu memberi cabaran baharu dalam perjalanan seninya.

“Program ini sebenarnya untuk artis yang tiada asas seramik. Sebelum ini saya hanya melukis, jadi cabarannya ialah menterjemahkan idea dua dimensi ke bentuk tiga dimensi,” katanya.

pic-5

Beliau menghasilkan siri karya seramik bertajuk Shipwreck Treasure yang menggambarkan pertembungan idea lama dan baharu antara pendekatan tradisional tenaga pengajar dengan pemikiran kontemporari sebagai seniman moden.

Shafiq berkata elemen lama dalam karyanya melambangkan idealisme tradisi, manakala bentuk imaginatif seperti makhluk surreal mewakili dunia kontemporari, sekali gus menyatukan dua pendekatan berbeza dalam satu naratif visual.

“Saya mahu menunjukkan idea lama tidak harus ditinggalkan, sebaliknya dibawa melalui pembaharuan supaya terus hidup dalam dunia seni hari ini,” katanya yang menyifatkan seramik sebagai medium rapuh dan sukar dijangka, khususnya ketika proses pembakaran dan pewarnaan.

pic-6

Bagi pelukis jalanan Amir Hamzah Al-Hafiz Mohd Yunus, 28, atau lebih dikenali sebagai Amer01, pengalaman pertama bekerja dengan tanah liat membuka ruang baharu dalam pendekatan seninya.

Artis grafiti dari Ipoh, Perak itu berkata karya seramiknya menampilkan transformasi watak ciptaannya, Ribbit, daripada lukisan kepada arca tiga dimensi, namun berdepan cabaran kerana bahan mudah retak dan warna sukar dijangka semasa proses pembakaran.

“Kadang-kadang bila kita rasa karya sudah siap dengan baik, ia boleh retak semasa dibakar. Warna juga sukar dijangka kerana teknik raku bergantung kepada suhu dan karbon,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2513964