Oleh Atira Khalisha Nor Adnan
PETALING JAYA, 6 Jan (Bernama) -- Kepelbagaian landskap Kuala Lumpur, daripada pencakar langit hinggalah bangunan bersejarah tinggalan era kolonial, keindahan ibu kota bukan sekadar memikat pandangan tetapi juga merupakan simbol identiti dan kebanggaan Malaysia di mata dunia.
Jadi tidak hairanlah jika latar Kuala Lumpur menjadi sumber ilham buat pelukis antarabangsa dari Kerala, India, Ab Nassar Ibrahim yang menterjemahkan panorama kota raya itu dalam bentuk sebuah lukisan bernilai RM5,500 di pameran Fusion Art Malaysia 2025 yang berlangsung di Capital Fine Art, di sini baru-baru ini.
Menggunakan teknik akrilik pada lukisan yang memaparkan bangunan ikonik negara antaranya Menara Kuala Lumpur, Menara Berkembar Petronas, Masjid Jamek dan Merdeka 118, Ab Nassar berkata karya dihasilkan berdasarkan pemerhatiannya sepanjang berada di negara ini, khususnya terhadap budaya tempatan dan destinasi pelancongan yang unik.
pic-2
“Saya mahu wujudkan budaya Malaysia di atas kanvas kecil. Bagi saya Malaysia sebuah destinasi pelancongan yang indah dan saya berhajat untuk kumpulkan kesemua keindahan ini dalam satu gambar,” katanya ketika ditemui Bernama di pameran itu.
Hanya mengambil masa kira-kira 30 minit bagi menyiapkan lukisan di atas kanvas bersaiz 60x77 sentimeter (cm) itu, Ab Nassar bagaimanapun tidak mengetepikan kualiti dan memastikan setiap elemen dapat diekspresikan dengan jelas.
“Melukis ini sangat sukar kerana kita perlu guna pelbagai kaedah untuk memastikan kita dapat merealisasikan imej yang mahu kita paparkan. Bagaimanapun semua itu satu proses yang menyeronokkan dan melukis keunikan Malaysia memberikan saya satu pengalaman indah,” katanya.
pic-3
Karya artis berusia 56 tahun itu menarik perhatian Pengarah Syarikat TOPCOM Datuk Dr Mohamed Alwi Abdul Rahman yang melihat lukisan tersebut sebagai satu paparan identiti negara dengan nilai patriotisme.
“Lukisan ini menunjukkan tentang negara kita dalam satu gambar, ‘bercerita’ tentang sejarah kemerdekaan negara dan sejarah dalam memajukan negara.
“Dalam konteks ini saya rasa setiap artis mempunyai gaya sendiri dalam mengekspresikan negara melalui pandangan mereka. Jika kita lihat pada cara dia (Ab Nassar) melukis, itu mempereratkan lagi semangat patriotik dalam memajukan Malaysia,” katanya yang baru berjinak-jinak membeli lukisan.
pic-4
Tidak kisah membelanjakan sejumlah wang bagi memiliki sebuah karya seni, beliau percaya harga itu setimpal dengan pengorbanan, kreativiti dan dedikasi dicurahkan.
Fusion Art Malaysia 2025 yang berlangsung dari 20 hingga 31 Dis lalu menampilkan kepelbagaian karya para artis dari 20 negara.
-- BERNAMA