AM

Penilaian Asas Tahun Empat Sokong Reformasi Pendidikan Berasaskan Data 

26/01/2026 12:04 PM

Oleh Mohd Yusof Saari

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Pelaksanaan penilaian asas di Tahun Empat disifatkan sebagai langkah reformasi dasar yang penting dalam usaha memperkukuh literasi dan numerasi murid sekolah rendah, khususnya dalam landskap pendidikan pasca pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Terengganu Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, berkata penilaian itu wajar dilaksanakan sebagai mekanisme diagnostik bagi mengenal pasti kelemahan pembelajaran murid lebih awal, sekali gus membolehkan pelan intervensi dirangka secara lebih bersasar dan berasaskan data.

Menurut beliau, ketiadaan penilaian standard selepas pemansuhan UPSR menuntut sistem pendidikan mempunyai satu mekanisme yang mampu memberikan gambaran jelas tahap penguasaan kemahiran asas murid sebelum mereka melangkah ke fasa pembelajaran yang lebih kompleks.

“Pada saya, penilaian tetap perlu supaya kita dapat mengetahui tahap penguasaan sebenar murid. Namun, persediaan serta penglibatan semua pihak mesti dibuat lebih awal agar murid dan ibu bapa memahami tujuan sebenar penilaian ini,” katanya kepada Bernama.

Semasa membentangkan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 pada Selasa, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pengukuran pembelajaran Tahun Empat akan dilaksanakan mulai 2026, membabitkan empat mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Pada Sabtu, Perdana Menteri menegaskan langkah berkenaan bertujuan mengenal pasti kelemahan murid dalam kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) bagi memastikan intervensi serta pemulihan dapat dilaksanakan lebih awal sebelum mereka melangkah ke peringkat menengah.

Mengulas lanjut, Mohd Izani berpandangan pelaksanaan penilaian asas itu wajar dimulakan melalui projek rintis, dengan pemilihan sekolah melibatkan kawasan bandar dan luar bandar bagi membolehkan isu, cabaran serta tahap kesiapsiagaan dikenal pasti secara menyeluruh.

Beliau turut menekankan kepentingan kesediaan guru dan pihak sekolah dari segi pelaksanaan penilaian, selain keperluan membina kefahaman bahawa penilaian tersebut bukan bertujuan memberi tekanan, sebaliknya sebagai medium sokongan kepada perkembangan pembelajaran murid.

“Apa yang penting, penilaian ini tidak seharusnya dilihat sebagai beban atau tekanan, sebaliknya sebagai alat sokongan pembelajaran bagi membantu murid berkembang secara holistik,” katanya.

Sementara itu, Presiden Ikatan Guru Muslim Malaysia (iGuru) Mohd Azizee Hasan berkata cadangan pelaksanaan penilaian asas berkenaan selari dengan keperluan pemulihan pembelajaran, khususnya pasca pandemik COVID-19 serta bagi menangani jurang pencapaian antara sekolah dan wilayah.

Bagaimanapun, Mohd Azizee berkata pelaksanaan penilaian itu tidak boleh bersifat tergesa-gesa atau  berorientasikan peperiksaan semata-mata, sebaliknya perlu difahami sebagai alat diagnostik pendidikan, bukan mekanisme menghukum murid, guru atau sekolah.

“Menerusi penilaian asas ini, data yang sahih dapat dikumpul bagi membolehkan Kementerian Pendidikan merancang program pemulihan yang lebih berfokus, mengenal pasti jurang bandar dan luar bandar, serta memperkukuh keyakinan ibu bapa terhadap usaha sekolah menangani isu literasi dan numerasi secara sistematik,” katanya.

Mohd Azizee turut bersetuju mengenai keperluan melaksanakan projek rintis bagi menguji kesesuaian instrumen penilaian terhadap latar murid yang pelbagai, menilai implikasi beban tugas guru, serta memastikan kesiapsiagaan sekolah dari segi sumber manusia dan sokongan intervensi.

Menurutnya, tanpa projek rintis, terdapat risiko penilaian tersebut menjadi satu lagi beban pentadbiran tanpa memberi impak pemulihan yang sebenar.

Beliau juga mengingatkan agar keputusan penilaian tidak dijadikan instrumen penilaian prestasi guru atau sekolah, sebaliknya digunakan sebagai asas perancangan intervensi, latihan profesional dan pengagihan sokongan yang lebih adil.

“iGuru menyokong usaha memperkukuh literasi dan numerasi murid, namun menegaskan bahawa kejayaan dasar ini bukan terletak pada penilaian semata-mata, tetapi pada keupayaan sistem menyokong murid dan guru secara menyeluruh,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2516718