AM

TVET Peringkat Sekolah Bentuk Generasi Kompeten

25/01/2026 11:25 AM

Oleh Afifitri Muhammad dan N.Kuvineshwaren

KUANTAN, 24 Jan (Bernama) -- Pelaksanaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seawal peringkat sekolah rendah serta menengah mampu menjadi asas kukuh dalam membentuk generasi yang lebih kompeten dan relevan dengan keperluan industri.

Penolong Naib Canselor (Strategik dan Korporat) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Prof Ts Dr Kamal Yusoh berkata pendedahan awal terhadap bidang kemahiran itu bertujuan menormalisasikan TVET sebagai laluan pendidikan arus perdana, sekali gus menepis stigma bahawa bidang berkenaan hanyalah pilihan kedua.

"Melalui pendekatan itu, murid didedahkan kepada pengalaman pembelajaran yang lebih kontekstual dan bermakna selari dengan dunia sebenar.

"Ia sejajar dengan keperluan ekonomi masa depan yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi, celik teknologi serta mampu menyesuaikan diri dalam persekitaran yang sentiasa berubah," katanya kepada Bernama.

Kamal berkata dengan asas kemahiran sejak di bangku sekolah, sistem pendidikan berupaya melahirkan bakat yang lebih bersedia untuk melanjutkan pengajian atau memasuki alam pekerjaan dan inisiatif itu berpotensi mengurangkan keciciran pelajar serta membuka lebih banyak laluan kerjaya.

Kamal turut mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan kandungan TVET secara santai dan menyeronokkan bagi menimbulkan minat serta membina kemahiran asas murid di sekolah rendah seperti ciptaan bahan mudah, pertukangan asas, robotik ringkas serta kitar semula kreatif.

“Di peringkat sekolah menengah rendah, TVET boleh diperkasakan dengan kemahiran teknologi dan praktikal yang lebih jelas seperti asas pengaturcaraan, reka bentuk digital, automasi mudah, pertanian pintar serta pengenalan kepada bidang seperti kejuruteraan, hospitaliti dan keusahawanan.

“Di sekolah menengah atas pula, TVET boleh memberi fokus kepada bidang yang lebih khusus dan hampir dengan dunia pekerjaan seperti mekatronik asas, pembangunan aplikasi, teknologi hijau, kulinari, reka bentuk produk atau penyelenggaraan teknikal,” katanya.

Beliau berkata secara realistik negara masih kekurangan guru TVET terlatih untuk pelaksanaan yang menyeluruh, meskipun usaha peluasan sedang dijalankan selain fokus guru sedia ada masih lebih kepada teori berbanding pengalaman praktikal industri yang diperlukan untuk pengajaran kemahiran yang efektif.

Selain itu, beliau berkata peluang latihan dan peningkatan kemahiran bagi guru TVET masih terhad berikutan kekangan masa, beban tugas serta peruntukan kewangan, sekali gus menyebabkan sebahagian guru ketinggalan dari segi teknologi dan amalan terkini yang sentiasa berubah mengikut keperluan industri.

Mengulas keperluan kemudahan pula, Kamal berkata sekolah perlu dilengkapi dengan bengkel, makmal dan ruang kerja yang selamat serta kondusif, direka mengikut bidang TVET yang ditawarkan bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang menyerupai tempat kerja sebenar.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata TVET perlu diangkat sebagai laluan strategik negara untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang bersifat bersedia menghadapi masa hadapan dan relevan dengan keperluan industri.

“Keperluan itu semakin mendesak khususnya dalam bidang kritikal seperti kecerdasan buatan (AI), Applied AI, pembuatan termaju dan aeroangkasa kerana masa depan tidak menunggu kita bersedia, malah kitalah yang perlu bersedia mendahului masa depan.

“Universiti yang benar-benar memahami tuntutan zaman akan membina kurikulum berpaksikan aplikasi sebenar, memperkukuh pembelajaran berasaskan industri dan memastikan graduan bukan sekadar boleh bekerja tetapi mampu memimpin perubahan dalam ekosistem pekerjaan baharu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata universiti juga perlu berperanan sebagai penyelesai masalah kepada industri dan komuniti di samping melahirkan inovasi yang boleh diterjemahkan kepada teknologi, produk, perkhidmatan serta manfaat sosial berteraskan etika dan nilai kemanusiaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di Putrajaya pada Isnin lepas mengumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperkenalkan TVET kepada pelajar sekolah rendah dan menengah menerusi Kurikulum Persekolahan bermula 2027.

Anwar berkata ia bagi membolehkan pelajar tahun satu hingga tahun enam serta tingkatan satu, dua dan tiga diberi pendedahan dan berpeluang memilih jurusan lebih awal.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2516498