SIBU, 23 Jan (Bernama) -- Seorang wanita tempatan berusia lingkungan 40-an di sini kerugian RM243,300 selepas diperdaya sindiket penipuan cabutan bertuah dalam talian.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata pihaknya menerima satu laporan polis daripada mangsa semalam.
Menurutnya, mangsa yang merupakan seorang suri rumah mendakwa menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali pada 24 Disember lepas, yang memaklumkan bahawa beliau telah memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM237,000.
“Suspek kemudiannya meminta mangsa membuat bayaran pendahuluan sebanyak RM6,000, kononnya bagi tujuan mengeluarkan wang hadiah tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa, yang tidak mengesyaki sebarang perkara mencurigakan, telah melakukan 15 transaksi pemindahan wang ke dalam 15 akaun bank tempatan, melibatkan jumlah keseluruhan RM243,300.
“Selepas semua pembayaran dibuat, mangsa tidak menerima sebarang wang hadiah seperti dijanjikan sebelum menyedari bahawa beliau telah ditipu dan tampil membuat laporan polis,” katanya.
Zulkipli berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang tawaran hadiah wang tunai yang diterima melalui panggilan telefon, mesej atau media sosial, serta tidak membuat sebarang pemindahan wang ke akaun individu yang tidak dikenali.
-- BERNAMA