AM

TPM Ahmad Zahid Harap Karya Malaysia Mudah Tembusi Pasaran Indonesia

23/01/2026 11:32 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap Indonesia membuka ruang lebih luas kepada karya dari Malaysia, khususnya buku dan hasil seni untuk menembusi pasaran negara itu sebagai langkah memperkukuh hubungan budaya dan intelektual antara dua negara serumpun.

Beliau berkata keterbukaan itu penting memandangkan pertukaran karya kreatif ketika ini dilihat tidak seimbang walaupun hubungan Malaysia-Indonesia telah terjalin rapat sejak sekian lama.

“Kita lihat dengan mudah buku-buku dari Indonesia dibawa masuk ke Malaysia. Kenapa buku dari Malaysia tidak boleh dibawa masuk ke Indonesia? Kita mesti membuka ruang seluas-luasnya di dalam pertukaran ilmu melalui buku.

“Kalau lagu dari Indonesia boleh dibawa ke negara kita. Lagu kita boleh dibawa ke Indonesia tetapi dengan syarat dirakam di Indonesia... ini mesti diberikan ruangan yang luas kepada artis Malaysia untuk merakam di Malaysia dan hasilnya itu diedarkan di seluruh Indonesia, barulah benar-benar serumpun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Perdana sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari serta Presiden PAPTI Datuk Dr Abdul Latiff Awang.

Pada masa sama, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menyentuh isu penayangan filem Malaysia di Indonesia, yang menurut beliau masih terhad berbanding filem Indonesia di Malaysia.

“Kita lihat mudahnya filem Indonesia untuk ditayang di negara kita dan jarang sangat filem kita dapat ditayangkan di Indonesia kecuali filem Mat Kilau,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap hubungan erat Malaysia dan Indonesia seharusnya terus diperkukuh bukan hanya melalui hubungan diplomatik rasmi, tetapi juga merangkumi aspek budaya, bahasa dan pemikiran.

Ahmad Zahid berkata sejarah membuktikan hubungan serumpun antara kedua-dua negara tidak dapat dipisahkan walaupun melalui penjajahan dan perbezaan politik, justeru sebarang isu yang boleh menjejaskan hubungan itu perlu dielakkan.

Beliau berharap semua pihak berkaitan seperti PAPTI perlu memainkan peranan sebagai jambatan tidak rasmi bagi terus merapatkan hubungan antara rakyat kedua-dua negara.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2516138