DUNIA

Presiden Filipina Stabil, Di Bawah Pemantauan Selepas Alami Ketidakselesaan

22/01/2026 06:06 PM

MANILA, 22 Jan (Bernama-PNA) -- Keadaan kesihatan Presiden Ferdinand R. Marcos Jr. dilaporkan stabil namun beliau kini berada di bawah pemerhatian perubatan selepas mengalami ketidakselesaan pada Rabu malam, lapor Agensi Berita Filipina (PNA) yang memetik Pejabat Presiden di Istana Malacanang.

Dalam sidang media pada Khamis, Pegawai Media Istana Claire Castro berkata Marcos berada di bawah pemerhatian perubatan sepanjang malam sebagai langkah berjaga-jaga dan dinasihatkan oleh pasukan doktornya supaya berehat dan menjalani pemantauan.

“Presiden menghabiskan malam di bawah pemerhatian perubatan sebagai langkah berjaga-jaga selepas mengalami ketidakselesaan. Doktor menasihatkan beliau supaya berehat dan dipantau manakala keadaannya kekal stabil,” kata Castro.

Castro berkata beliau tidak mengetahui secara khusus jenis ketidakselesaan yang dialami Presiden.

Walaupun berada di bawah pemerhatian perubatan, Marcos tetap menjalankan tanggungjawabnya, katanya.

Castro memberi jaminan kepada orang ramai bahawa tiada sebab untuk bimbang, sambil menyatakan bahawa Presiden masih mampu melaksanakan tugasnya.

“Kami juga perlu memaklumkan kepada anda tentang apa yang dialami Presiden malam tadi kerana sehingga awal pagi pun beliau masih bekerja,” kata Castro.

“Kemungkinan besar apa yang dialami beliau ialah keletihan akibat bekerja,” kata pegawai istana itu.

Castro berkata Marcos telah kembali ke Istana Malacanang dan dijangka mengadakan dua mesyuarat tertutup pada Khamis petang.

Perkembangan itu menyusul selepas Marcos tidak menghadiri majlis penganugerahan The Outstanding Young Men 2025 di Istana Malacanang pada pagi Khamis.

Setiausaha Eksekutif Ralph Recto menghadiri majlis itu bagi pihak Marcos.

Castro berkata sesi libat urus awam Marcos pada Jumaat mungkin akan diteruskan, tertakluk kepada nasihat doktornya.

-- BERNAMA-PNA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2515628