SUKAN

Masters Indonesia 2026: Jonassen Mahu Justin Manfaatkan Suasana Unik Di Istora Senayan

20/01/2026 05:09 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jan  (Bernama) -- Gemuruh sorakan di Istora Senayan, Jakarta menunggu pemain perseorangan lelaki negara Justin Hoh yang akan beraksi buat pertama kali di satu daripada venue badminton paling unik, pada Masters Indonesia 2026 esok. 

Pemain nombor 37 dunia itu bakal membuka kempen kejohanan dengan berdepan pemain ranking ke-28 dunia Wang Zheng Xing dari China.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan negara Kenneth Jonassen berkata penguasaan terhadap keadaan unik di Istora Senayan, daripada aliran angin hingga kepada kehadiran penonton yang terkenal lantang, boleh menjadi faktor pemisah sebenar buat kedua-dua pemain.

“Saya rasa ini kali pertama bagi kedua-dua mereka beraksi di Istora Senayan dan ia juga satu pengalaman.

“Pemain yang paling baik menyesuaikan diri dengan suasana di situ, aliran angin dan sorakan penontonnya, akan mempunyai peluang lebih besar untuk menang,” katanya kepada kepada pemberita ketika ditemui pada sesi latihan di sini hari ini.

Daripada tunduk kepada perasaan gentar pada kejohanan Super 500 itu yang bermula hari ini hingga 25 Jan, Jonassen berkata adalah lebih baik untuk Justin menyahut cabaran tersebut dan menyamakan suasana di Istora Senayan seperti bermain di hadapan penyokong sendiri di Kuala Lumpur. 

Bagaimanapun, jurulatih asal Denmark itu menegaskan keseronokan perlu diseimbangkan dengan kesungguhan, dengan pemain berusia 21 tahun itu perlu menguasai permainan.

“Dia perlu mengawal rentak perlawanan dan bermain lebih agresif berbanding pihak lawan. Kita tunggu bagaimana keputusannya esok,” katanya.

 Jonassen berkata walaupun berada pada kedudukan ranking lebih rendah berbanding lawan dari China itu, Justin mempunyai kelebihan psikologi dalam perlawanan itu nanti kerana pernah menewaskan Zheng Xing ketika pertemuan pertama mereka di pusingan pertama Terbuka Korea 2025 pada September lepas.

Sementara itu, mengulas ketiadaan seorang lagi pemain perseorangan negara, Leong Jun Hao pada kejohanan itu, beliau berkata keputusan dibuat sebagai langkah berjaga-jaga. 

“Saya tidak menyatakannya sebagai kecederaan tetapi lebih kepada masalah yang tidak membolehkan dia berlatih secara maksimum.

“Apabila menyertai kejohanan Jelajah Dunia Super 500 dan berdepan pemain terbaik dunia, kita perlu berada pada tahap prestasi tertinggi…supaya tidak mengambil risiko memburukkan sebarang masalah kecil,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2514609