AM

Pengisian Program Jelajah HAWANA Selari Era Digital Terkini

20/01/2026 09:16 PM

JOHOR BAHRU, 20 Jan (Bernama) -- Pelajar institusi politeknik dan kolej komuniti menyifatkan tiga sesi perkongsian sempena Majlis Penutup Program Jelajah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 Bersama Siswa Peringkat Politeknik di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Pasir Gudang amat bertepatan dengan era digital terkini.

Rata-rata pelajar yang ditemui berkata tiga sesi itu merangkumi perkongsian Mobile Journalism (MoJo) dan Semakan Fakta oleh Bernama serta ceramah Kempen Internet Selamat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memberikan pendedahan menyeluruh mengenai penggunaan media digital secara beretika, berhemah dan bertanggungjawab, khususnya dalam kalangan belia yang aktif dalam media sosial.

Pelajar Diploma Reka Bentuk Fesyen PIS Nurulain Syamimi Abdul Halim, 21, berkata sesi MOJO yang dikendalikan Pegawai Berita Meja Digital Media Bernama K. Vishpani banyak membantunya memahami teknik menggunakan kamera dengan betul serta asas untuk menjadi wartawan.

“Saya juga belajar bagaimana untuk menghasilkan kandungan seperti seorang wartawan. 

"Perkongsian ini sangat bermanfaat dan membuka pendedahan baharu kepada saya, sekali gus membuka mata saya tentang kerjaya wartawan,” katanya.

Sementara itu, pelajar Diploma Pengurusan Acara PIS Muhammad Shamil Azri Safri, 25, berkata program berkenaan amat bermanfaat khususnya dalam membina keyakinan diri untuk berkomunikasi dan berhadapan dengan orang ramai, selain meningkatkan keupayaan mengenal pasti serta menilai berita palsu.

Pendedahan yang diberikan oleh para penceramah, katanya turut menyuntik minat untuk lebih serius berkecimpung dalam industri media, selari dengan minat sedia ada terhadap bidang berkenaan.

"Apa yang disampaikan juga amat bermakna serta relevan dengan keperluan pelajar masa ini," katanya.

Pelajar Diploma Pengurusan Acara, Muhammad Muaz Naufal Abdullah Sani, 19, pula berkata dia gembira dapat menimba ilmu secara langsung daripada pengamal media profesional, khususnya berkaitan isu berita palsu dan aspek keselamatan penggunaan Internet.

"Kami diberi pendedahan mengenai pelbagai isu semasa seperti penipuan dalam talian dan penyebaran berita palsu.

"Pada pandangan saya, program itu amat relevan khususnya kepada golongan pelajar dan generasi kini yang sememangnya bergantung kepada penggunaan media sosial serta Internet,” katanya.

Program HAWANA selama sehari itu, yang disertai 585 penuntut dan pensyarah, dianjurkan dengan kerjasama PIS serta MCMC sebagai rakan strategik.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2514777