AM

Pembangunan Politeknik, Kolej Komuniti Seiring Universiti Perlu Diperkasa - Zambry

20/01/2026 12:48 PM

PUTRAJAYA, 20 Jan (Bernama) -- Kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memberi tumpuan lebih menyeluruh terhadap pembangunan politeknik dan kolej komuniti (POLYCC) sebagai sebahagian daripada agenda memperkasakan pendidikan tinggi negara, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata pendekatan baharu perlu dirangka bagi memastikan institusi POLYCC berkembang seiring dengan pembangunan di universiti, sekali gus mengubah persepsi bahawa pendidikan di peringkat politeknik merupakan pilihan kedua.

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah memaklumkan supaya kita kena cari pendekatan baharu dalam pendidikan di peringkat politeknik dan kolej komuniti. Selama ini apabila kita bercakap tentang pendidikan tinggi, kita hanya terhala kepada universiti semata-mata.

“Sudah sampai masanya untuk kita berikan perhatian juga kepada bagaimana kita nak melihat politeknik (dan kolej komuniti) membangun bersama dengan pembangunan pendidikan tinggi kita, maknanya pendidikan di peringkat politeknik itu tidak boleh lagi dianggap sebagai pendidikan kelas kedua,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perutusan Tahun Baharu 2026 Menteri Pendidikan Tinggi di sini hari ini.

Zambry berkata tadbir urus universiti awam perlu diperkasakan agar lebih tangkas dan selari dengan dasar serta pekeliling yang dikeluarkan kerajaan khususnya membabitkan arahan daripada Kementerian Kewangan (MOF).

“Saya harap dari segi prestasi, kita akan melihat semula dari segi pekeliling yang ada. Sebagai contoh, pekeliling di universiti untuk dilaksanakan sama ada daripada MOF (atau lain), apabila arahan diberikan hendaklah kita laksanakan.

“Kalau kita kata universiti mempunyai hak untuk melaksanakan menggunakan pekeliling yang boleh digunakan, tidak. Kita kena ikut apa yang diarahkan kerana universiti-universiti itu adalah badan berkanun dan tertakluk kepada arahan,” katanya.

Menyentuh mengenai Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 (RPTM) yang akan diperkenalkan hari ini, Zambry berkata ia merupakan dokumen strategik utama bagi memacu hala tuju pendidikan tinggi negara untuk tempoh 10 tahun akan datang.

Beliau berkata ia disifatkan sebagai satu pencapaian penting apabila merupakan kali pertama dirangka secara bersama oleh kepakaran tempatan melibatkan lebih 8,000 pihak berkepentingan daripada pelbagai sektor.

“Pendekatan ini berbeza daripada amalan sebelum ini yang bergantung kepada perunding luar dengan kos yang tinggi dan RPTM ini juga akan menjadi ‘dokumen hidup’ iaitu dokumen yang fleksibel dan boleh disesuaikan mengikut perubahan semasa, tanpa menjejaskan matlamat utama,” katanya.

Kerajaan akan melancarkan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 hari ini iaitu satu rancangan strategik pendidikan nasional merangkumi keseluruhan ekosistem pendidikan negara daripada peringkat sekolah hingga pendidikan tinggi.

RPN diterajui bersama oleh KPT (menerusi RPTM) manakala Kementerian Pendidikan (KPM) menerajui Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035.

Pelaksanaan RPTM 2026-2035 dan RPM 2026-2035 secara bersepadu di bawah RPN 2026-2035, mencerminkan keselarasan dasar pendidikan negara yang menyeluruh dan berfasa bagi memastikan kesinambungan pembangunan modal insan daripada peringkat sekolah hingga pendidikan tinggi.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2514432