SEREMBAN, 15 Jan (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan menyambut baik cadangan pembinaan Hospital Pengajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai dan berharap projek berkenaan dapat diberi keutamaan oleh kerajaan Persekutuan.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata cadangan tersebut telah dibangkitkan dalam sidang Parlimen yang lepas untuk pertimbangan kerajaan, memandangkan kepentingannya kepada sektor pendidikan perubatan dan keperluan kesihatan masyarakat setempat.
“Saya mengalu-alukan cadangan ini dan yakin pembinaan Hospital USIM akan diberi keutamaan oleh kerajaan Persekutuan. Ia amat dinanti-nantikan oleh para pelajar dan warga pendidik dalam bidang perubatan.
“Selain itu, hospital tersebut juga memberi manfaat besar kepada masyarakat di Nilai untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Sejahtera MADANI-Pendidikan: Program Kasih Siswa Peringkat Negeri Sembilan, di sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Zafir Ibrahim, Pegawai Kewangan Datuk Masri Razali dan Pengarah Pembangunan Negeri Datuk Noor-Ihsan Che Mat.
Beliau berkata pembinaan Hospital USIM bukan sahaja memperkukuh ekosistem pendidikan perubatan, malah meningkatkan akses perkhidmatan kesihatan berkualiti kepada penduduk setempat serta kawasan sekitarnya.
Media semalam melaporkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dalam titah baginda, berharap pembinaan hospital tersebut dapat dipertimbangkan dengan teliti kerana ia berpotensi memperkukuh perkhidmatan kesihatan di negeri itu.
Sementara itu Aminuddin dalam ucapannya berkata Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), kini sedang merangka pelaksanaan program train and place yang menyasarkan golongan belia daripada keluarga eKasih, sebagai langkah proaktif menangani isu kemiskinan di Negeri Sembilan.
Beliau berkata program itu selari dengan keutamaan Kerajaan MADANI yang memberi penekanan kepada pembangunan insan serta penyediaan peluang pekerjaan berkualiti, khususnya untuk memperkasakan generasi muda agar mereka dapat keluar daripada kitaran kemiskinan secara mampan.
Aminuddin berkata Negeri Sembilan, telah mencapai status sifar miskin tegar berdasarkan Data Dinamik Kumulatif pada tahun 2024 dan Mac 2025, namun memerlukan usaha berterusan bagi memastikan kesejahteraan rakyat dapat dipertingkat secara menyeluruh.
“Cabaran bukan sekadar mengekalkan sifar miskin tegar, tetapi menyifarkan keseluruhan kemiskinan di negeri ini. Sehingga 31 Dis lepas, masih terdapat 6,887 Ketua Isi Rumah miskin di negeri ini direkodkan, ini bukan sekadar angka tetapi realiti kehidupan rakyat yang menaruh harapan kepimpinan dan dasar kerajaan,” katanya.
-- BERNAMA