DUNIA

Diet Trump "sangat Tidak Sihat", Didominasi Makanan Segera, Gula-gula

15/01/2026 06:47 PM

ISTANBUL, 15 Jan (Bernama-Anadolu) -- Setiausaha Kesihatan Amerika Syarikat (AS) Robert F. Kennedy Jr. berkata Presiden Donald Trump mempunyai tabiat pemakanan yang “sangat tidak sihat”, dengan dietnya banyak terdiri daripada makanan segera, gula-gula dan Diet Coke, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Bercakap dalam rancangan The Katie Miller Potcast yang disiarkan pada Selasa, Kennedy berkata Trump kerap mengambil makanan McDonald’s, gula-gula dan sejumlah besar Diet Coke, khususnya ketika dalam perjalanan.

“Perkara menarik tentang presiden ialah beliau makan makanan yang sangat tidak sihat seperti McDonald’s, kemudian gula-gula dan Diet Coke,” kata Kennedy.

Beliau berkata Trump cenderung makan lebih sihat ketika berada di Rumah Putih atau di kediamannya di Mar-a-Lago, namun dietnya merosot dengan ketara ketika melakukan kunjungan luar.

Kennedy menambah bahawa Trump minum Diet Coke secara berterusan dan sesiapa yang mengembara bersamanya akan merasakan seolah-olah Trump “mengisi dirinya dengan racun sepanjang hari”.

Berseloroh mengenai ketahanan diri Trump, Kennedy berkata presiden itu mempunyai “daya tahan seperti dewa”, sambil menambah bahawa beliau sendiri tidak tahu bagaimana Trump masih boleh bertahan.

“Anda pun tidak tahu bagaimana dia boleh berjalan, apatah lagi menjadi orang paling bertenaga yang pernah kita jumpa,” katanya.

Walaupun gemar makanan segera, Kennedy berkata kesihatan keseluruhan Trump masih mengagumkan.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2512894