AM

Sentuhan Agro MADANI: Ikan Segar Percuma, Pek Kombo Rm5 'Laku Keras' Di Kinabatangan

15/01/2026 04:37 PM

Oleh Rohana Nasrah

KINABATANGAN, 15 Jan (Bernama) -- Lebih 500 kilogram (kg) ikan segar seperti selar, selayang dan sardin yang ditawarkan secara percuma oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia 'laku keras' dalam tempoh singkat sempena Program Sentuhan AGRO MADANI @ Kinabatangan hari ini.

Inisiatif itu mendapat sambutan luar biasa daripada penduduk setempat yang tidak menyangka tawaran ikan percuma diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu ketika beliau membuat tinjauan di reruai tersebut selepas merasmikan program berkenaan di sini.

Reruai Lembaga Pertubuhan Peladang Kinabatangan turut mencuri tumpuan penduduk apabila 200 pek Kombo MADANI mengandungi barangan keperluan asas seperti tepung gandum, gula, garam, minyak masak, bawang merah dan mi kering habis terjual pada harga RM5 menerusi slot Happy Hour dalam tempoh yang singkat.

Suri rumah Hamidah Baharuddin, 50, dari Kampung Sungai Rotan, bersyukur dan tidak menyangka ada tawaran ikan percuma kerana beliau terlebih dahulu membeli sumber protein itu sebanyak 6kg pada harga promosi RM5.

“Apabila mendapat tahu mengenai tawaran percuma, saya pun tidak melepaskan peluang untuk turut sama beratur... harga ikan di sini mahal, jadi inisiatif seperti ini sangat membantu untuk kami menjimatkan perbelanjaan,” katanya kepada Bernama.

Hamidah juga berkata beliau memperuntukkan RM200 bagi membeli barangan keperluan asas lain seperti beras dan barangan basah termasuk ayam untuk kegunaan selama dua minggu pada program jualan tersebut.

Noraini Sijari, 47, dari Kampung Nusa Jaya, pula berkata program jualan pek makanan Kombo MADANI merupakan inisiatif pertama seumpamanya di Kinabatangan yang nyata memberi kelegaan buat golongan suri rumah sepertinya.

Beliau menyifatkan program itu sebagai langkah efektif dalam meringankan beban kos sara hidup malah tidak melepaskan peluang membeli tiga pek makanan memandangkan harganya yang jauh lebih murah dan berbaloi berbanding harga pasaran biasa.

Noraini berkata pek makanan itu bukan sahaja menjimatkan malah mampu menampung keperluan dapur keluarganya bagi tempoh satu hingga dua minggu sekali gus membantu pengurusan perbelanjaan bagi mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Saya berharap program jualan seperti ini diperbanyakkan lagi sebagai inisiatif membantu golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Berlangsung di Dataran Terbuka pekan Kota Kinabatangan, penganjuran program Sentuhan AGRO MADANI itu mencerminkan pendekatan kerajaan lebih inklusif, bersifat mendengar serta bertindak selaras dengan nilai teras MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat, hormat dan keadilan sosial.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2512812