EKONOMI

Sektor Perbankan Islam Malaysia Catat Pertumbuhan Kukuh - S&P Global Ratings

14/01/2026 04:24 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Pembiayaan Islam Malaysia akan menyumbang hampir separuh daripada jumlah pembiayaan sektor perbankan menjelang 2030 berbanding 42 peratus pada akhir 2024, menurut S&P Global Ratings.

Dalam laporannya bertajuk “Asia-Pacific Islamic Banking Outlook 2026: Rebound Masks Regional Divergence,” agensi penarafan itu berkata unjuran itu didorong oleh pertumbuhan yang stabil, disokong oleh rangka kerja kawal selia yang komprehensif, pasaran sukuk tempatan yang mendalam dan penerimaan runcit yang kukuh.

“Pengguna dan perniagaan kecil akan terus memacu pertumbuhan pembiayaan, selari dengan trend pertumbuhan di bank konvensional negara,” kata S&P Global Ratings.

Menurutnya pertumbuhan pembiayaan Islam kekal didorong terutamanya oleh operasi domestik, dengan perniagaan luar negara mula mendapat daya tarikan di beberapa pasaran.

"Persaingan sengit dalam pasaran matang Malaysia telah mendorong beberapa bank Islam terbesar untuk mengkaji peluang pertumbuhan luar negara di Asia Tenggara, termasuk pengurusan kekayaan Islam.

“Malayan Banking Bhd yang mempunyai bank Islam terbesar di Malaysia, telah memulakan operasi di Filipina melalui tetingkap Islam,” katanya.

Agensi penarafan itu menjangka pertumbuhan pembiayaan bagi bank Islam Asia-Pasifik meningkat ke paras lebih tinggi dalam julat unjuran 8 hingga 10 peratus sepanjang tiga tahun akan datang selepas mengalami kelembapan pada 2025.

Jumlah aset dijangka melepasi US$550 bilion menjelang akhir 2028 berbanding US$430 bilion pada akhir 2024, merangkumi kira-kira 20 peratus daripada pasaran perbankan Islam global.

Menurut agensi penarafan itu, selain itu, bank Islam Malaysia terus memainkan peranan penting dalam memajukan pembiayaan inklusif, selaras dengan prinsip pengantaraan berasaskan nilai (VBI) bank pusat.

Katanya bank Islam Malaysia dan Brunei akan mengekalkan kualiti aset yang unggul, dengan nisbah pembiayaan tidak berbayar kedua-dua negara diunjurkan kekal di bawah 2.0 peratus, yang mencerminkan risiko ekonomi yang rendah dan kekayaan per kapita yang tinggi.

“Di Malaysia, kualiti aset disokong oleh amalan penilaian pembiayaan yang berhemat, portfolio yang pelbagai dan peruntukan yang konservatif.

“Pembiayaan peringkat 2 bank, iaitu ukuran potensi peningkatan risiko, adalah terkawal pada sekitar 7.0 peratus setakat akhir September 2025 dan secara umumnya kekal stabil sepanjang dua tahun lepas,” katanya.

Agensi penarafan itu dalam laporan berasingan bertajuk “Sukuk Market: Strong Growth to Continue,” berkata penerbitan sukuk global meningkat sebanyak 12.7 peratus pada 2025 kepada US$264.8 bilion berbanding US$234.9 bilion tahun lepas.

Keadaan ini didorong oleh pertumbuhan ekonomi yang kukuh di negara kewangan Islam teras, keperluan pembiayaan yang tinggi dan keadaan pembiayaan yang menyokong berikutan penurunan kadar faedah global.

Malaysia, Arab Saudi, Turki, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain menjadi pemacu prestasi kukuh ini.

Malaysia adalah penyumbang terbesar pertumbuhan terbitan tahun lepas. Kerajaan dan syarikat tempatan meningkatkan terbitan dalam ringgit -- memanfaatkan pasaran modal tempatan yang luas dan mendalam -- serta terbitan mata wang asing oleh International Islamic Liquidity Management (IILM) Corporation.

Sementara itu, menurut data Refinitiv Workspace, jumlah terbitan sukuk mampan meningkat 38 peratus kepada US$21.5 bilion pada 2025 berbanding US$15.6 bilion tahun lepas.

“Bank termasuk Bank Pembangunan Islam, menyumbang hampir 50 peratus daripada peningkatan ini, diikuti beberapa negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan syarikat korporat Malaysia.

“Penerbit dari Arab Saudi mendahului penerbitan sukuk mampan pada 2025, menyumbang lebih 40 peratus, diikuti oleh UAE dan Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2512355