ALOR SETAR, 14 Jan (Bernama) -- Seorang pesara jurutera kerugian lebih RM100,000 selepas diperdaya untuk mendapatkan bantuan selepas menjadi mangsa scammer.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah DSP Jasmani Sabrini berkata mangsa lelaki berusia 54 tahun itu telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda pada Ahad lepas.
“Pada 16 Mei 2025, mangsa telah melayari laman sosial Facebook dan tertarik dengan satu iklan, iaitu ‘sekiranya anda adalah mangsa scam, sila hubungi kami’. Mangsa telah menekan pautan berkenaan dan meninggalkan nama dan nombor telefonnya.
“Mangsa kemudian telah dimasukkan ke dalam aplikasi WhatsApp dan diminta untuk mengisi butiran peribadi bagi tujuan permohonan. Sebelum permohonan diproses, mangsa telah diminta untuk membuat bayaran pendahuluan bagi membuka fail,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata lelaki itu telah membuat lapan transaksi pindahan secara dalam talian ke beberapa akaun bank yang menggunakan nama individu dan syarikat berbeza antara 28 Mei hingga 18 Jun tahun lepas.
“Jumlah keseluruhan kerugian mangsa ialah RM108,001 dan sehingga laporan polis dibuat, pihak berkenaan masih meminta bayaran tambahan dengan alasan untuk mendapatkan semula wang mangsa.
“Siasatan mendapati, pesara berkenaan telah menjadi mangsa scammer sebelum ini dan tiga kes telah dibuka kertas siasatan, iaitu di Sungai Petani dan Padang Serai berkenaan pinjaman wang tidak wujud,” katanya.
Orang ramai boleh membuat semakan dengan pihak polis sebelum melakukan sebarang transaksi yang mencurigakan, selain menggunakan aplikasi Semak Mule, Facebook JSJK atau menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997.
-- BERNAMA