JENAYAH & MAHKAMAH

Guru Besar, Isteri Ditemukan Maut Dengan Kesan Kecederaan Serius Di Sri Aman

14/01/2026 02:17 PM

KUCHING, 14 Jan (Bernama) -- Seorang guru besar sekolah rendah di Sri Aman dan isterinya ditemukan maut di Jalan Brayun di sini pada awal pagi tadi dengan kesan kecederaan serius di bahagian tubuh.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan pasangan itu dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kecederaan serius pada 6.55 pagi.

“Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman bersama pegawai perubatan dari Hospital Sri Aman segera dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Pemeriksaan awal mengesahkan bahawa kedua-dua mangsa, iaitu seorang lelaki berumur 45 tahun dan isterinya berumur 44 tahun telah meninggal dunia di tempat kejadian,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Motif serta punca kejadian masih dalam siasatan dan usaha mengumpul bukti serta keterangan saksi sedang giat dijalankan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes ASP Kalang di talian 019-331 7785 atau pusat kawalan daerah IPD Sri Aman atau balai polis berdekatan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2512292