GAYA HIDUP

Wan Fitrah Bawa Warisan Hutan Ke Festival Kraf Johor 2025

27/12/2025 12:35 AM

Oleh Mohamad Syazwan Mustafa

JOHOR BAHRU, 26 Dis (Bernama) -- Aroma kayu hutan, kilauan tasbih dan gelang serta pedang tradisional di reruai Fitrah Alam mencuri perhatian pengunjung Festival Kraf Johor 2025, membongkar kisah warisan, ilmu dan perubatan Islam dalam setiap produk.

Wan Fitrah, 51, pengasas Fitrah Alam, berkata setiap produk lahir daripada kepercayaan bahawa alam ini amanah Allah yang perlu dimanfaatkan secara bijak, bukan sekadar kraf tangan tetapi juga sebagai sokongan kesihatan dan perlindungan diri.

Beliau berkata Allah menjadikan kayu, batu dan besi untuk dimanfaatkan manusia, dengan setiap jenis kayu mempunyai khasiat dan keistimewaan tersendiri.

“Dalam perubatan Islam kita menggunakan kayu ini sebagai penambah tenaga. Kayu-kayu berkhasiat ini kita gunakan sebagai asbab untuk kesembuhan dari segi penawar, gangguan jin dan pembisa,” katanya ketika ditemui Bernama di festival berkenaan di Padang Akasia, Angsana Mall di sini.

Kayu yang digunakan sebagai komponen produk termasuk kemuning hitam, rotan songsang, penunduk gajah, raja kayu, nibong, sulur bertam, penawar hitam, la’qa, luz, abanuz, teras kekabu, pasung, teras ciku, buluh tikam kayu, tas, gemunggal, buluh tumpat, teras pahlawan, nagasari dan arang bunga.

Wan Fitrah berkata setiap kayu, dikaji dan ditentukan kategori serta fungsinya melalui penelitian mendalam sejak 2010, menjadikan penghasilan produk bukan sekadar kerja tangan tetapi perjalanan ilmu selama lebih 15 tahun.

Beliau menjelaskan kemuning hitam dan penawar hitam, digunakan sebagai ibu penawar kepada penyakit, sihir dan santau, manakala raja kayu berfungsi menguatkan tulang dan sendi kerana mengandungi minyak semula jadi.

“Kalau yang pembisa, nibong ataupun sulur bertam ini, kategori pembisa untuk pertahanan diri kita daripada binatang berbahaya. Maka, setiap kayu ini ada khasiat dan fungsinya yang tersendiri,” katanya sambil mempamerkan koleksi kayunya kepada pengunjung.

Daripada kayu hutan itu, Wan Fitrah menghasilkan pedang, tongkat, loket, gelang, cincin, tasbih dan minyak, semuanya dihasilkan dengan teliti menjadikan setiap produk unik dan bernilai tinggi.

Beliau berkata harga produk bermula serendah RM5 hingga mencecah ratusan ringgit bergantung pada jenis kayu, tahap ketukangan dan nilai spiritual yang terkandung padanya.

“Kesemua produk saya ini lain daripada yang lain kerana sudah dirukyah,” katanya sambil menegaskan barangan tersebut hanyalah sebagai asbab, dan perlindungan sebenar datang dengan izin Allah.

Beliau yang berasal dari Kelantan berkata penghasilan awal diwarisi daripada keluarga isterinya dari Pahang, sebelum dikaji dan diketengahkan kepada khalayak lebih luas.

Bapa kepada empat orang anak ini berkata pameran seperti Festival Kraf Johor 2025 bukan sahaja platform menjual produk, tetapi juga medan memperkenalkan warisan, ilmu dan seni kraf tempatan kepada generasi muda.

“Saya amat suka pameran kraf tangan ini sebab kita boleh mengetengahkan produk kita dan saya berharap program seperti ini diperbanyakkan lagi,” katanya sambil tersenyum melihat pengunjung kagum dengan kayu berkhasiat yang dipamerkan.

Festival Kraf Johor 2025 berlangsung dari 18 hingga 29 Dis ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2506469