AM

Tidak Ambil SPM, Lepasan Sekolah Agama Swasta Berisiko Tercicir Masuk Universiti - Alimuddin

14/01/2026 12:35 AM

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Sebahagian besar pelajar lepasan institusi agama swasta khususnya maahad tahfiz dan pondok berdepan risiko tercicir daripada arus pendidikan perdana apabila sebahagian daripada mereka tidak mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pro-Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata tindakan itu sekali gus mengehadkan peluang mereka untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Berikutan itu, beliau berkata langkah proaktif perlu diambil bagi memastikan mereka diberikan peluang saksama untuk melanjutkan pengajian di universiti, lebih-lebih lagi trend ketika ini menunjukkan ramai ibu bapa lebih cenderung memilih pengajian aliran agama swasta untuk anak-anak.

“Ketika ini, terdapat 1,540 institusi agama di seluruh negara dengan jumlah pelajar kira-kira 79,000 orang. Isunya sebahagian besar pelajar di sekolah agama swasta ini tidak ambil SPM, ada dua sebab… pertama, visi dan misi utama maahad tahfiz adalah untuk lahirkan huffaz, kedua mereka kekurangan dana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Memperkasa Pendidikan Melayu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini malam ini.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Dalam usaha untuk memperkasakan pelajar lepasan maahad tahfiz dan pondok, Alimuddin turut mencadangkan semua IPTA supaya menyediakan program khas.  

“Pelajar mungkin masih boleh menguasai subjek seperti Bahasa Melayu, Sejarah dan Pendidikan Agama Islam secara kendiri, namun bagi subjek seperti Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, bimbingan guru amat diperlukan. 

“Justeru, adalah dicadangkan agar semua IPTA menyediakan program khas atau ‘foundation’ (asas) untuk pelajar lepasan maahad tahfiz dan pondok dengan pada akhir pengajian, mereka boleh dinilai dan jika keputusannya baik, mereka dapat diserap ke aliran arus perdana,” katanya.

Alimuddin yang juga bekas Ketua Pengarah Pendidikan berkata perkara itu bukanlah sesuatu yang mustahil dilaksanakan kerana beberapa institusi telah pun menyediakan program khas untuk lepasan maahad tahfiz, termasuk Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), UPSI, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) serta Politeknik Malaysia.

-- BERNAMA 

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2512170