KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Sebanyak 1,821 pelajar tingkatan lima daripada 10 sekolah menengah di Parlimen Bandar Tun Razak menerima bantuan persekolahan termasuk wang tunai RM100.
Sumbangan itu disampaikan oleh isteri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, pada Program Ceria Ke Sekolah Pelajar Tingkatan 5 Sekolah Menengah Harian Parlimen Bandar Tun Razak 2025 di sini hari ini.
Dr Wan Azizah berkata program itu bukan sekadar penyampaian bantuan persekolahan tetapi satu bentuk sokongan moral agar pelajar lebih bersedia dari segi fizikal, mental dan emosi untuk menghadapi cabaran akademik.
"Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah langkah awal ke arah masa depan yang lebih luas sama ada menyambung pelajaran, latihan kemahiran atau memasuki dunia pekerjaan.
"Sebagai Ahli Parlimen, saya komited menyokong pembangunan pendidikan, termasuk membantu pelajar terus berusaha dan ingin melihat semua anak-anak dalam Bandar Tun Razak mendapat peluang menimba ilmu dan bimbingan akademik, motivasi serta bantuan kebajikan," katanya ketika berucap di majlis berkenaan yang turut dihadiri Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin.
Sementara itu, Azman dalam ucapannya berkata program yang diadakan kali kedua di Parlimen itu bertujuan membantu meringankan beban keluarga dan menyemarakkan semangat komuniti untuk lebih cakna serta prihatin, selain membantu golongan tidak berkemampuan.
"Semua pelajar akan mendapat sebuah beg sekolah yang terukir nama pelajar, nama kelas dan terdapat logo lencana sekolah yang akan diguna pakai oleh semua pelajar.
"Semoga sumbangan wang tunai akan digunakan untuk membeli keperluan sekolah seperti barangan kelengkapan, buku dan lain-lain," katanya.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tasik Selatan Nur Aisyah Amani Jumairi berkata dia amat bersyukur kerana terpilih menerima sumbangan untuk memulakan sesi persekolahan esok.
"Alhamdulillah sumbangan ini dapat memberi manfaat kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM tahun ini dan meringankan beban ibu bapa," kata anak bongsu daripada dua beradik itu.
Pelajar SMK Orkid Desa Tan Wen-Yi berkata bantuan itu dapat digunakan untuk membeli buku rujukan yang diinginkannya bagi tujuan ulang kaji.
"Saya gembira hari ini dapat bantuan lebih-lebih lagi kerana akan menduduki SPM tahun ini. Saya amat bersyukur dan berterima kasih atas sumbangan wang dan peralatan sekolah," katanya.
-- BERNAMA