KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) Malaysia pada 2026 diunjurkan berkurangan kepada 19.50 juta tan hingga 19.80 juta tan metrik berbanding 20.28 juta tan yang dicatatkan pada 2025, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Bagaimanapun, Ketua Pengarah MPOB Datuk Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata usaha penanaman akan meningkatkan lagi pengeluaran MSM.
Eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit diunjurkan berada pada paras 15.80 juta tan hingga 16 juta tan pada 2026 (2025: sebanyak 24.80 juta tan), dengan anggaran hasil eksport mencecah RM110 bilion pada tahun ini daripada RM112.51 bilion yang direkodkan semasa 2025.
Beliau berkata demikian semasa pembentangan bertajuk “Prestasi Industri Minyak Sawit Malaysia 2025 dan Prospek 2026” pada Seminar Unjuran dan Tinjauan Ekonomi Minyak Sawit (R&O) 2026 di sini hari ini.
Ahmad Parveez berkata MPOB menjangkakan harga MSM menjangkau antara RM4,000 satu tan hingga RM4,300 satu tan pada 2026 berbanding harga tahun lepas, yang mencecah purata RM4,292.50 satu tan, melangkaui sasaran MPOB iaitu sebanyak RM4,200 satu tan.
"Pada tahun ini, kami sedang melihat banyak faktor yang mempengaruhi (harga MSM). Jadi, terdapat banyak isu tentang apa yang kami panggil sebagai ketidaktentuan di luar sana, dan untuk berada di sempadan selamat, kami melihat harga patut berlegar antara RM4,000 satu tan hingga RM4,300 satu tan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi MPOB Datuk Mohamad Helmy Othman Basha ketika mengulas mengenai prestasi industri minyak sawit pada 2025 berkata tahun tersebut adalah tahun yang baik untuk industri itu, dengan pengeluaran MSM melebihi 20 juta tan selepas didorong oleh tenaga buruh yang kukuh dan cuaca yang baik.
Beliau berkata MPOB akan terus menggalakkan pekebun kecil menanam semula pokok sawit sebanyak mungkin untuk tahun ini bagi mengekalkan pengeluaran yang tinggi.
“Ini adalah dorongan utama kami untuk tahun ini dan kami amat berbesar hati kerana kerajaan terus memperuntukkan dana kepada pekebun kecil bagi usaha penanaman semula.
“Jadi, MPOB akan menjadi agensi yang ditugaskan untuk memastikan penanaman semula ini dilaksanakan oleh pekebun-pekebun kecil,” katanya pada satu sidang media di sini hari ini.
-- BERNAMA