CANBERRA, 13 Jan (Bernama-Xinhua) -- Perdana Menteri Australia Anthony Albanese pada Selasa mengisytiharkan hari berkabung negara yang akan diadakan pada 22 Jan ini untuk mangsa serangan pengganas di Pantai Bondi di Sydney, lapor Xinhua.
Bendera akan dikibarkan separuh tiang di semua bangunan kerajaan sekitar Australia pada tarikh itu bagi memperingati mangsa serangan tersebut yang menyasarkan acara meraikan perayaan Yahudi Hanukkah di Pantai Bondi pada 14 Dis lepas, kata Albanese pada sidang media di Bangunan Parlimen di sini.
“Ini (hari berkenaan) akan bertemakan ‘cahaya akan menang’, satu perjumpaan perpaduan dan peringatan,” kata Albanese.
Perdana menteri itu pada Isnin mengumumkan bahawa persidangan parlimen persekutuan akan diadakan dua minggu lebih awal daripada jadual asal cuti musim panas, iaitu pada 19 Jan untuk meluluskan undang-undang yang lebih ketat terhadap ucapan kebencian dan pemilikan senjata api, sebagai tindak balas terhadap serangan berkenaan.
Sebanyak 15 orang maut ditembak dalam insiden itu oleh suspek Naveed Akram dan bapanya Sajid, yang ditembak mati polis.
Pihak berkuasa berkata serangan itu didorong oleh fahaman ekstremis dan telah mendakwa Naveed Akram dengan 15 pertuduhan bunuh dan satu pertuduhan melakukan tindakan keganasan.
-- BERNAMA-XINHUA