KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Konfederasi Persekutuan Bolasepak Asia (AFC) mengesahkan bahawa skuad bola sepak wanita Iran kini berada di Kuala Lumpur, susulan laporan beberapa pemain memohon suaka di Australia.
Dalam kenyataan kepada Bernama, AFC mengesahkan pasukan kebangsaan negara itu kini menginap di sebuah hotel tempatan.
“AFC akan menyediakan segala sokongan yang diperlukan kepada pasukan sepanjang mereka berada di sini sehingga urusan perjalanan seterusnya dimuktamadkan.
“AFC akan tetap mengutamakan kebajikan dan keselamatan pemain serta pegawai, dan menyeru media menghormati privasi ahli pasukan,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung AFC Datuk Seri Windsor John tidak mendedahkan nama atau lokasi hotel tempat pasukan berkenaan menginap atas faktor keselamatan.
“Maaf, atas faktor keselamatan, kami tidak dapat mendedahkan lokasi hotel,” katanya.
Rakaman ketibaan skuad wanita kebangsaan Iran di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tular di media sosial, hari ini.
Menurut Kedutaan Iran di Malaysia, pemain yang menyertai kempen Piala Asia Wanita 2026 di Australia dijangka pulang ke Iran tertakluk kepada ketersediaan penerbangan dan pembukaan semula ruang udara negara itu.
“Mereka mahu pulang ke tanah air,” menurut Kedutaan Iran ketika dihubungi Bernama.
Perkembangan itu menyusuli laporan tujuh lagi pemain skuad berkenaan telah memohon suaka di Australi dengan alasan bimbang akan menghadapi penganiayaan sekiranya pulang ke Iran selepas enggan menyanyikan lagu kebangsaan sebelum perlawanan pembukaan pada 3 Mac lepas.
Menurut laporan yang memetik Menteri Imigresen Australia Tony Burke, pemain telah dipindahkan ke lokasi selamat oleh polis Australia.
Burke turut dilaporkan berkata baki pemain telah dimaklumkan bahawa mereka dialu-alukan untuk terus berada di Australia.
Pemain pada awalnya dijadualkan pulang ke tanah air selepas kejohanan itu, namun penyokong menyuarakan kebimbangan mengenai keselamatan mereka susulan keputusan pasukan itu untuk tidak menyanyikan lagu kebangsaan sebelum perlawanan menentang Korea Selatan.
Tindakan itu mencetuskan kritikan daripada beberapa pengulas di Iran, dengan seorang pengulas konservatif dilaporkan menuduh pasukan itu sebagai “pengkhianat masa perang” serta menggesa hukuman berat dikenakan.
Menurut Kedutaan Malaysia di Tehran, pemegang pasport Iran yang melancong ke Malaysia dengan pasport kebangsaan mereka, tidak memerlukan visa untuk masuk ke negara ini bagi tempoh lawatan tidak melebihi 14 hari.
-- BERNAMA