KOTA BHARU, 12 Jan (Bernama) -- Rakyat di Kelantan dinasihatkan supaya menangguhkan perjalanan ke Selatan Thailand ketika ini susulan insiden letupan bom di beberapa stesen minyak di Wilayah Selatan negara itu semalam.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata bagaimanapun, pihak berkuasa tidak dapat menghalang sekiranya ada individu yang mahu ke sana atas urusan tertentu, tetapi perlu berhati-hati.
"Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengambil risiko dan menangguhkan perjalanan ke Wilayah Selatan Thailand sekiranya tiada perkara penting.
"Pihak kami akan sentiasa memantau perkembangan semasa melalui kerjasama rapat dengan pihak keselamatan Thailand," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Yusoff berkata setakat ini, maklumat berkaitan kejadian bom di beberapa stesen minyak di tiga Wilayah Selatan Thailand, iaitu Narathiwat, Yala dan Pattani masih belum diperoleh.
"Rakyat Malaysia yang berada di kawasan berhampiran sempadan juga perlu sentiasa berwaspada, mematuhi nasihat pihak berkuasa serta mengelakkan diri daripada pergi ke kawasan berisiko tinggi.
Semalam, Thailand menguatkuasakan perintah berkurung serta-merta di Narathiwat, susulan siri insiden keganasan yang melibatkan serangan bom dan arson pada awal pagi Ahad.
Markas Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) dalam satu kenyataan memaklumkan siasatan awal menunjukkan serangan itu dilakukan oleh kumpulan bersenjata yang bertopeng.
Sasaran melibatkan lima stesen minyak PTT di Narathiwat, empat di Yala dan dua di Pattani, dengan insiden dilaporkan berlaku kira-kira pukul 1.10 pagi.
-- BERNAMA