GAYA HIDUP

Kumpulan Radja, Wali Masih Relevan, Gegar Pentas Idea Live Arena

12/01/2026 10:54 AM

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Radja dan Wali, dua kumpulan dari Indonesia yang begitu popular pada era 2000-an, nyata masih belum kehilangan magis mereka apabila tampil memukau lebih 5,000 peminat yang membanjiri Idea Live Arena di sini pada Sabtu malam, menyaksikan Konsert RadjaWali.

Gegak-gempita penonton sepanjang persembahan lebih tiga jam itu turut membuktikan kehadiran ramai wajah baharu dalam industri muzik masa kini tidak melencongkan kesetiaan peminat dua kumpulan berkenaan serta menepis dakwaan populariti mereka hanya bersandarkan nostalgia lalu.

Radja terlebih dahulu memanaskan pentas seawal 8.55 malam menerusi lagu Tulus sebelum meneruskan rangkaian lagu-lagu popular yang pernah menjadi siulan ramai.

pic-2

Dianggotai Ian Kasela, Moldyansyah Mulyadi dan Seno Aji Wibowo, kumpulan itu mencipta suasana lebih dekat apabila vokalisnya turun dari pentas menyapa peminat, termasuk yang hadir khas dari Singapura dan Brunei.

"Meski teman-teman duduk, tapi tak apa ya? Kita di sini masih boleh berhibur. Ini kamu semua mau lagu apa yang seterusnya? Yang keras atau semangat?," kata Ian Kasela ketika segmen santai bersama-sama peminat.

Lebih sejam menguasai pentas, Radja mempersembahkan 13 lagu antaranya Benci Bilang Cinta, Angin, Bulan dan Jujur, mengukuhkan status mereka sebagai kumpulan yang masih relevan hingga kini.

Pentas kemudiannya diambil alih Wali yang tampil tanpa gitaris utama Apoy, namun tetap tidak mengecewakan. Kemunculan mereka tepat 10.55 malam disambut jeritan peminat yang rata-ratanya terdiri daripada Generasi Y dan Z.

pic-3

Vokalisnya Faank memaklumkan ketiadaan Apoy disebabkan oleh masalah kesihatan sebelum meminta seluruh dewan mendoakan rakan seperjuangannya itu agar segera sembuh.

Suasana sayu menyelubungi dewan apabila Faank gagal menahan sebak ketika menyampaikan Doaku Untukmu Sayang, namun tetap meneruskan nyanyian dengan penuh penghayatan dan disambut sorakan serta tepukan gemuruh penonton.

Konsert bertukar rancak apabila mereka mendendangkan lagu Emang Dasar, menyaksikan peminat melompat dan menyanyi bersama-sama dari awal hingga akhir lagu.

pic-4

Harapan tinggi peminat untuk mendengar lagu-lagu hit Wali  seperti Cari Jodoh, Yank, Aku Bukan Bang Toyib dan Tobat Maksiat yang dijangkakan  di penghujung konsert bagaimanapun musnah apabila wakil penganjur konsert muncul memohon maaf seusai lagu Ada Gajah di Balik Batu dipersembahkan. 

"Tuan-tuan dan puan-puan semua, saya mewakili pihak penganjur memohon maaf kerana kebenaran kita menggunakan dewan yang indah ini hanya setakat ini sahaja," kata wakil pihak penganjur yang pada awalnya disangkakan gimik.

Sorakan meminta persembahan diteruskan bergema di seluruh arena, namun ternyata lagu itu menjadi penutup konsert yang ditamatkan tepat pada 12 tengah malam, membuatkan sebahagian besar penonton meninggalkan dewan dengan rasa tidak puas hati.

Keseluruhannya, sekalipun hanya sempat menghiburkan peminat dengan 11 lagu, antaranya Cari Berkah, Nenekku Pahlawan, Doaku Untukmu Sayang, Baik Baik Sayang dan Orang Bilang, persembahan Wali tidak menghampakan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2511344