PASARAN

Pasaran Getah Ditutup Tinggi Disokong Trend Menaik Niaga Hadapan Serantau

12/01/2026 05:32 PM

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi & Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup tinggi pada Isnin, disokong oleh trend menaik dalam niaga hadapan getah serantau, kata seorang peniaga.

Beliau berkata kebimbangan mengenai bekalan bahan mentah yang semakin terhad di negara utama pengeluar getah asli turut menyokong sentimen pasaran.

Peniaga itu berkata sentimen pasaran juga disokong oleh ringgit yang lebih lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan data ekonomi AS yang positif.

Pada sesi pagi, ringgit menyusut kepada 4.0750/0850 berbanding dolar AS daripada 4.0700/0765 ketika ditutup Jumaat lepas.

“Data ekonomi AS yang positif disokong oleh sentimen pengguna yang dijangka bertambah baik pada awal Januari, walaupun isi rumah masih bimbang mengenai inflasi dan pasaran buruh yang semakin lemah,” katanya.

Bagaimanapun, peniaga itu berkata kenaikan selanjutnya dihadkan oleh ketidaktentuan dasar perdagangan AS, ketegangan geopolitik yang berterusan dan prestasi harga minyak mentah yang bercampur-campur.

Pada 3 petang, harga Getah Mutu Malaysia 20 (GMM) 20 meningkat enam sen kepada 766.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal menokok satu sen kepada 576 sen sekilogram.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2511572