DUNIA

"Avatar: Fire And Ash" Terus Terajui Carta Box Office Amerika Utara

05/01/2026 06:07 PM

LOS ANGELES, 5 Jan (Bernama-Xinhua) -- Filem sains fiksyen epik terbitan Disney dan 20th Century, “Avatar: Fire and Ash”, terus mengungguli carta pecah panggung Amerika Utara untuk minggu ketiga berturut-turut dengan anggaran kutipan tiket sebanyak US$40 juta, lapor Xinhua pada Ahad yang memetik data firma penyelidikan Comscore.

Filem ketiga dalam francais “Avatar” arahan James Cameron itu kini telah mencatatkan kutipan keseluruhan sebanyak US$306 juta di Amerika Utara dan US$777.1 juta di peringkat antarabangsa, menjadikan anggaran kutipan global melebihi US$1 bilion.

Sementara itu, filem komedi animasi Disney, “Zootopia 2”, kekal di tangga kedua dengan kutipan US$19 juta pada hujung minggu ini. Selepas enam minggu ditayangkan, sekuel kepada filem “Zootopia”  (2016) itu telah mengumpul US$363.6 million di peringkat domestik, dengan jumlah kutipan seluruh dunia mencecah US$1.59 bilion.

Melengkapkan kedudukan tiga teratas ialah filem ngeri terbitan Lionsgate, “The Housemaid”, yang meraih US$14.87 juta pada minggu ketiga tayangannya. Ini menjadikan jumlah kutipan domestik filem berkenaan meningkat kepada US$75.7 juta setakat Ahad.

-- BERNAMA-XINHUA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2509028