SHAH ALAM, 6 Jan (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) kelas B atas pelbagai kesalahan termasuk cubaan membawa keluar seorang migran tanpa melalui laluan yang diwartakan di perairan Sekinchan dalam satu operasi awal pagi semalam.
Pengarah APMM Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata penahanan itu dilakukan hasil risikan dan pemantauan berterusan pihaknya terhadap pergerakan mencurigakan sebuah vesel nelayan di perairan Selangor yang dipercayai melanggar syarat lesen serta undang-undang sedia ada.
“Vesel itu ditahan kira-kira 5 pagi oleh bot ronda APMM di kedudukan 2.5 batu nautika barat Sekinchan.
“Pemeriksaan awal mendapati vesel itu dikendalikan seorang tekong bersama tiga awak-awak berusia antara 28 hingga 61 tahun yang kesemuanya warganegara Indonesia," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata hasil pemeriksaan awal mendapati VNT berkenaan telah melanggar syarat lesen vesel termasuk gagal mematuhi keperluan dokumentasi yang ditetapkan.
Beliau berkata kesemua individu yang berada di atas vesel terbabit didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah semasa pemeriksaan dijalankan.
“Mereka tidak memiliki permit kerja atau surat kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia. Kegagalan mematuhi syarat lesen dan dokumentasi tersebut merupakan satu kesalahan serius di bawah peruntukan undang-undang negara," katanya.
Pada masa sama, Abdul Muhaimin berkata pemeriksaan lanjut turut menemukan seorang lelaki warga asing tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.
Anggota operasi turut menemukan satu beg berisi pakaian dipercayai milik lelaki berusia 29 tahun berkenaan, sekali gus mendedahkan kemungkinan vesel terbabit cuba membawa lelaki itu keluar secara haram.
“APMM tidak menolak kemungkinan bahawa VNT ini dipercayai digunakan bagi membawa keluar migran secara haram dari Malaysia ke kawasan lain atau kembali ke Indonesia," katanya.
Abdul Muhaimin berkata tekong, tiga awak-awak, migran dan barangan rampasan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk tindakan lanjut.
Kes berkenaan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 kerana melibatkan elemen penyeludupan migran.
-- BERNAMA