DUNIA

Sarawak, India Bincang Isu Jantina, Kebajikan Wanita

07/01/2026 11:01 PM

NEW DELHI, 7 Jan (Bernama) -- Sarawak dan India mengadakan perbincangan mengenai isu jantina serta kebajikan wanita dalam usaha memperkukuh sistem sokongan dan pemerkasaan golongan itu.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah mengadakan perbincangan tersebut bersama Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak India Annapurna Devi di New Delhi, pada Selasa.

Kunjungan hormat itu menekankan kepentingan kerjasama dalam meningkatkan sistem sokongan bagi wanita yang terkesan oleh keganasan, memandangkan Malaysia dan India komited terhadap pemerkasaan wanita serta kesaksamaan jantina, menurut Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dalam hantaran media sosial pada Rabu.

Interaksi tersebut turut memberi peluang untuk bertukar pandangan tentang pemerkasaan wanita, mengenai pembangunan awal kanak-kanak dan kesejahteraan komuniti, kata menteri India itu menerusi platform media sosial X.

Lawatan Fatimah ke Delhi dari 5 hingga 7 Jan adalah atas jemputan penaung Rangkaian Wanita Asia Selatan (SWAN) Veena Sikri, seorang diplomat bersara yang pernah berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia dan Bangladesh.

Menteri Sarawak itu bersama delegasi pengiring, termasuk Presiden Persatuan Wanita India Sarawak (SIWA) Paliani Samba Bilaidom, yang juga dikenali sebagai Lucy Lingam, turut menyertai dialog masyarakat sivil anjuran SWAN di Pusat Antarabangsa India pada Selasa.

Perbincangan tertumpu kepada Perhimpunan Wanita Antarabangsa Asia Selatan 2026 (SIWA 2026) yang dianjurkan oleh SIWA dan akan diadakan di Kuching, Sarawak, dari 8 hingga 10 Sept.

SWAN kini sedang berusaha untuk bekerjasama dengan Sarawak dalam inisiatif tersebut.

Peserta turut berbincang mengenai amalan terbaik, sokongan logistik dan idea bagi acara di Sarawak itu yang dijangka menarik kehadiran pemimpin wanita, penggubal dasar serta penggerak masyarakat sivil.

-- BERNAMA

KEYWORDS
       
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2510086