WASHINGTON/BAMAKO, 6 Jan (Bernama-Anadolu) -- Presiden Republik Afrika Tengah Faustin-Archange Touadera memenangi penggal ketiga jawatannya, menurut keputusan awal yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Pilihan Raya Kebangsaan pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi
Keputusan menunjukkan Touadera memperoleh 76.15 peratus undi dalam pilihan raya yang diadakan bulan lepas.
Beliau pertama kali dipilih pada 2016 dan dipilih semula pada 2020 dengan memperoleh 53.16 peratus undi pada pusingan pertama.
Referendum perlembagaan negara itu pada 2023 telah memansuhkan had tempoh perkhidmatan dan melanjutkan penggal jawatan kepada tujuh tahun, sekali gus membolehkan Touadera bertanding untuk penggal ketiga.
Hari pengundian disifatkan sebahagian besarnya aman oleh pemerhati antarabangsa, termasuk Kesatuan Afrika dan Misi Penstabilan Bersepadu Pelbagai Dimensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Republik Afrika Tengah (MINUSCA), meskipun berlaku ketidaktentuan keselamatan di beberapa wilayah timur.
Bagaimanapun, gabungan pembangkang utama, Blok Republikan bagi Mempertahankan Perlembagaan (BRDC), memboikot pilihan raya itu dan menyifatkannya sebagai tidak adil.
Pencabar yang mengambil bahagian, termasuk pemimpin pembangkang dan bekas Perdana Menteri Anicet-Georges Dologuele serta mantan Perdana Menteri Henri-Marie Dondra, mendakwa pihak berkuasa mengenakan sekatan berkempen, termasuk menyekat perjalanan ke wilayah-wilayah tertentu.
Mahkamah Perlembagaan mempunyai tempoh sehingga 20 Jan ini untuk mengesahkan keputusan berkenaan atau mengadili sebarang petisyen cabaran.
Pihak pembangkang telah membangkitkan dakwaan penipuan, namun setakat ini tiada laporan mengenai kekecohan pascapilihan raya yang meluas.
-- BERNAMA-ANADOLU