KOTA BHARU, 5 Jan (Bernama) -- Seorang peniaga didenda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana melakukan penyambungan haram elektrik di sebuah premis bagi tujuan melombong bitcoin, dua tahun lepas.
Hakim Nik Habri Mohamad menjatuhkan hukuman selepas orang kena saman (OKS) Loo Siong Hong, 43, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan.
“Saya bersetuju dengan hujahan pendakwaan bahawa satu hukuman yang berat perlu diberikan tambah-tambah lagi melibatkan kerugian sangat besar iaitu RM1.33 juta.
“Ini adalah hukuman saya, denda RM80,000 jika tidak bayar, 12 bulan penjara,” katanya.
Mengikut pertuduhan, OKS didakwa menghalang meter elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) daripada merekodkan penggunaan elektrik secara sempurna dengan membuat sambungan haram pada bahagian terminal keluaran suis fius di panel meter.
Sambungan haram itu dialirkan ke premis melalui kabel logam metal cable trunking dan ditamatkan pada sistem komputer.
Loo yang tidak diwakili peguam dituduh melakukan perbuatan berkenaan di sebuah premis di Jalan Sultan Yahya Petra, Kampung Lundang, di sini pada 3 petang, 15 Okt 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut perenggan 37(3)(e) Akta Bekalan Elektrik 1990dan boleh dihukum di bawah subperenggan 37(3)(A)(ii) akta sama memperuntukkan denda RM20,000 hingga RM1 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pengarah Jabatan Undang-Undang Suruhanjaya Tenaga (ST) Khairul Nizam Mohd Kamal yang mengendalikan kes memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap OKS memandangkan kes berkenaan serius melibatkan kepentingan awam selain kerugian ditanggung TNB sebanyak RM1.33 juta.
Menurutnya, kesalahan mencuri elektrik dilakukan OKS bagi tujuan melombong bitcoin merupakan jenayah terancang yang impaknya bukan hanya kepada individu tetapi kepada semua.
“ST sebelum ini sudah melakukan sesi libat urus untuk memberi perkongsian keseriusan jenayah curi elektrik dan impaknya kepada masyarakat,” katanya.
-- BERNAMA