AM

Inisiatif Dapur Siswa UMS Bantu Pelajar Kurang Berkemampuan Akses Bekalan Makanan

02/01/2026 09:58 PM

KOTA KINABALU, 2 Jan (Bernama) -- Inisiatif “Dapur Siswa” yang diperkenalkan Universiti Malaysia Sabah (UMS) diyakini mampu menjadi platform berkesan dalam menyediakan makanan asas kepada pelajar khususnya golongan kurang berkemampuan dan berasal dari luar bandar.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk James Ratib berkata usaha itu juga dapat membantu pelajar yang berdepan kekangan kewangan susulan peningkatan harga makanan sekali gus meringankan kos sara hidup mereka sepanjang berada di universiti.

Setakat ini, beliau berkata UMS menyediakan kemudahan Dapur Siswa di Kolej Kediaman Tun Fuad dan Kolej Kediaman Tun Mustapha yang memberi manfaat kepada lebih 3,500 pelajar.

"Inisiatif ini sangat bagus kerana sekurang-kuranya pelajar yang kurang sumber kewangan akan dapat bantuan bekalan makanan asas seperti nasi. Justeru, usaha ini akan dapat memastikan kehidupan mereka terjamin di UMS.

"Sukarelawan yang dipilih UMS akan memasak makanan asas seperti nasi, di samping pelajar juga boleh membawa bahan mentah sendiri untuk dimasak," katanya kepada pemberita selepas meninjau inisiatif Dapur Siswa di Kolej Kediaman Tun Mustapha UMS di sini hari ini.

James turut mengalu-alukan sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan bagi memastikan insiatif berkenaan mencapai objektifnya.

Beliau berkata kerajaan negeri menerusi kementeriannya juga akan sentiasa menghulurkan bantuan bagi memastikan kesinambungan inisiatif tersebut supaya lebih ramai pelajar UMS daripada golongan kurang berkemampuan menikmati manfaatnya.

"Saya telah pun menyumbang RM30,000 sebagai bantuan pertama saya untuk program pada kali ini," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata 80 pelajar UMS dipilih sebagai sukarelawan untuk menggerakkan inisiatif tersebut di kedua-dua kolej kediaman berkenaan mengikut jadual.

Beliau berkata inisiatif diperkenalkan sejak November tahun lepas itu akan diperluaskan ke kolej kediaman lain termasuk di kampus Labuan dan Sandakan bagi membantu lebih ramai pelajar kurang berkemampuan sekali gus memastikan keperluan makanan asas dipenuhi. 

"UMS juga akan menyediakan kemudahan Dapur Siswa di Kolej Kediaman Tun Ahmad Raffae yang menempatkan lebih 3,000 pelajar," katanya.

Kasim berkata Dapur Siswa beroperasi bermula 6 pagi hingga 12 tengah malam dan turut dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) demi memastikan keselamatan sekali gus mengingatkan pelajar supaya tidak menyalahgunakan kemudahan berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2508273