JENAYAH & MAHKAMAH

Ejen Hartanah Rugi RM759,950 Terperdaya Sindiket Pelaburan Judi Dalam Talian

02/01/2026 09:52 PM

GEORGE TOWN,  2 Feb (Bernama) -- Polis mengesahkan seorang ejen hartanah kerugian RM759,950 selepas terperdaya sindiket pelaburan judi dalam talian dalam kejadian di daerah Barat Daya dekat sini baru-baru ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata wanita berusia 64 tahun itu mendakwa mula menerima mesej pada aplikasi WhatsApp daripada seorang lelaki yang bertanyakan tentang pembantu rumah sebelum mangsa memberikan nombor telefon rakannya yang menjalankan perkhidmatan itu pada pertengahan Oktober lepas.

“Selepas itu, lelaki berkenaan sering menghubungi mangsa dan menceritakan berkaitan satu pelaburan judi dalam talian yang menjanjikan keuntungan lumayan dalam tempoh masa singkat daripada jumlah modal yang dilaburkan.

“Wanita itu mula tertarik dan telah melabur buat kali pertama sehingga mangsa mendapat keuntungan RM3,000 dan bermula 26 Nov hingga 8 Dis lepas, mangsa membuat 20 kali transaksi wang ke lapan akaun bank milik syarikat berbeza melibatkan jumlah RM759,950,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azizee berkata wanita warga emas itu hanya menyedari telah diperdaya apabila tidak menerima keuntungan yang dijanjikan, malah diarah untuk membuat pembayaran tambahan bagi tujuan pengeluaran keuntungan.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA 

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2508315