KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Ketiadaan dokumen rasmi kelahiran dan kad pengenalan menjejaskan hampir seluruh fasa kehidupan tujuh beradik berusia antara 17 hingga 30 tahun, apabila mereka membesar tanpa pendidikan formal, peluang pekerjaan dan kebebasan asas seperti dinikmati warga Malaysia lain.
Nur Hakikah Ismail, 24, berkata ketiadaan sijil kelahiran dan kad pengenalan menyebabkan dia dan enam lagi adik-beradiknya Ahmad Shahmil, 30, Muhammad Fazril, 29, Nur Hakimah, 26, Nur Laila, 22, Nur Shakila, 19, dan Zakaria, 17, tidak pernah bersekolah sekali gus menutup peluang mereka mendapatkan pendidikan asas sejak kecil.
Tanpa dokumen sah, anak keempat itu berkata mereka hanya mampu belajar sendiri secara tidak formal, antaranya melalui tontonan di televisyen, mendengar perbualan orang sekeliling serta belajar mengenal huruf dan menulis sedikit demi sedikit.
“Kami tak sekolah tetapi janji kami sesama adik-beradik, kami tetap nak belajar walaupun tak ada sekolah.
“Hidup juga rasa tak normal, nak ke mana-mana terbatas sebab tak ada kad pengenalan,” katanya selepas menerima kad pengenalan buat pertama kali dalam hidupnya di Bandar Sungai Buaya, Rawang, Selangor hari ini.
Penyerahan kad pengenalan secara lewat daftar berkenaan yang dilakukan sendiri oleh Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Datuk Badrul Hisham Alias, bagaikan memberi sinar baharu kepada tujuh beradik berasal dari Kampung Tanjung Sungai Choh itu untuk melangkah lebih jauh pada 2026 ini.
Rentetan hidup mereka yang penuh liku itu berpunca daripada kegagalan ibu bapa mendaftarkan perkahwinan dan kelahiran secara rasmi sekali gus mencetuskan kesan rantaian terhadap status dokumentasi.
Nur Hakikah mengakui ketiadaan dokumen pengenalan diri bukan sahaja menutup akses kepada pendidikan formal malah mengehadkan peluang pekerjaan apabila kebanyakan majikan enggan menggaji mereka.
Katanya keadaan itu menyebabkan mereka hanya mampu melakukan kerja sambilan, selain tidak layak mencarum dalam skim caruman rasmi bagi menjamin masa depan.
“Kehidupan kami juga sentiasa dibayangi kebimbangan untuk bergerak bebas atau tampil di ruang awam kerana ketiadaan dokumen pengenalan diri, selain berdepan pandangan serong masyarakat.
“Orang tanya anak siapa, kenapa tak sekolah. Lama-lama kami tebalkan muka dan kuatkan semangat. Ejekan dan penghinaan itu sudah sebati dalam hidup,” katanya.
Bagi adiknya, Nur Shakila, 19, kad pengenalan yang diterima hari ini membuka kembali harapan untuk mendapatkan pendidikan formal dan mengubah masa depan.
“Saya nak sangat dapat pendidikan formal. Walaupun tak sekolah, saya yakin belum terlambat untuk ubah masa depan,” katanya.
Sementara itu, Badrul Hisham berkata pendaftaran lewat tersebut berpunca daripada perkahwinan ibu bapa yang tidak didaftarkan dan menjadi lebih rumit apabila bapa kandung tujuh beradik tersebut meninggal dunia pada 2023.
Beliau berkata kesemua mereka menerima kelulusan Daftar Lewat Sijil Kelahiran pada 8 Dis, diikuti kelulusan Daftar Lewat Kad Pengenalan pada 23 Dis 2025 selepas siasatan dijalankan.
“Ia termasuk pengesahan pertalian melalui ujian sampel asid deoksiribonukleik (DNA) daripada waris terdekat seperti bapa saudara,” katanya.
-- BERNAMA