RAWANG, 2 Jan (Bernama) -- Penantian tujuh beradik untuk memiliki dokumen pengenalan diri berakhir apabila menerima kad pengenalan secara daftar lewat di kediaman mereka di Bandar Sungai Buaya di sini hari ini.
Mereka yang berusia antara 17 hingga 30 tahun itu menerima kelulusan permohonan Daftar Lewat Sijil Kelahiran pada 8 Dis diikuti kelulusan Daftar Lewat Kad Pengenalan pada 23 Dis 2025.
Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Datuk Badrul Hisham Alias berkata pendaftaran lewat itu berpunca daripada perkahwinan ibu bapa tidak didaftarkan sekali gus menjejaskan urusan pengeluaran dokumen pengenalan diri anak.
Beliau berkata keadaan lebih rumit apabila bapa tujuh beradik itu meninggal dunia pada 2023 menyebabkan keperluan mendapatkan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) waris terdekat seperti bapa saudara bagi tujuan pengesahan pertalian.
“Sebaik maklumat permohonan diterima, JPN meminta keluarga ini hadir ke pejabat untuk menjalankan semakan melalui Bahagian Kelahiran dan Kematian serta siasatan lanjut bagi mengesahkan pertalian anak dengan ibu bapa,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan dokumen pengenalan diri itu.
Badrul Hisham berkata siasatan termasuk ujian DNA membuktikan pertalian kekeluargaan selain perkahwinan ibu bapa turut didaftarkan semula dan disahkan mahkamah yang merupakan satu keperluan penting sebelum sijil kelahiran dapat dikeluarkan dengan taraf warganegara.
“Apabila semua keperluan dipenuhi, sijil kelahiran dapat dikeluarkan diikuti kad pengenalan,” katanya.
Tujuh beradik itu ialah Ahmad Shahmil Ismail, 30, Muhammad Fazril, 29, Nur Hakimah, 26, Nur Hakikah, 24, Nur Laila, 22, Nur Shakila, 19, dan Zakaria, 17, dari Kampung Tanjung Sungai Choh di sini.
Dalam pada itu, Badrul Hisham menyeru warganegara Malaysia memastikan perkahwinan didaftarkan mengikut undang-undang yang bukan sekadar keperluan pentadbiran sebaliknya perlindungan asas kepada hak anak pada masa hadapan.
“Setiap perkahwinan dan kelahiran wajib didaftarkan sama ada melibatkan warganegara atau bukan warganegara. Warga asing di Malaysia juga perlu memastikan kelahiran anak didaftarkan mengikut peraturan ditetapkan supaya isu ketiadaan dokumen pengenalan diri dapat dielakkan,” katanya.
Beliau berkata berdasarkan data JPN tahun lepas, sebanyak 4,497 permohonan Daftar Lewat Kad Pengenalan diterima manakala 9,528 permohonan melibatkan Daftar Lewat Kelahiran.
Beliau berkata JPN akan melipatgandakan usaha dan program turun padang ke lapangan pada tahun ini bagi mengesan serta menangani kes keciciran dokumen pengenalan diri.
-- BERNAMA