JENAYAH & MAHKAMAH

Penganggur Didakwa Cederakan Lelaki Semasa Himpunan Global Sumud Flotilla

31/12/2025 04:57 PM

KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki semasa Himpunan Global Sumud Flotilla di depan kedutaan Amerika Syarikat, Oktober lepas.

Isa Hazmi Zulkifli, 32, didakwa sengaja mendatangkan kecederaan dengan cara memukul mangsa, Mohd Hafizi Nor Azrin yang juga peserta perhimpunan itu pada 1.30 tengah hari, 2 Okt.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan Kedutaan Besar Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak, di sini mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Mohamad Poad menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan.

Peguam Zaid Malek mewakili Isa Hazmi memohon jaminan RM700 atas alasan anak guamnya yang sebelum ini bekerja sebagai tukang cuci perlu menanggung ibu yang sudah tua.

Majistret Faezahnoor Hassan membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,300 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Feb ini untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2507594