DUNIA

Thailand Hantar Pulang 18 Tentera Kemboja - Kementerian Luar

31/12/2025 01:32 PM

Oleh Kenny Teng

BANGKOK, 31 Dis (Bernama) -- Thailand telah menghantar pulang 18 anggota tentera Kemboja yang ditahan ke negara asal mereka pada 10 pagi (waktu tempatan) selaras dengan Kenyataan Bersama yang ditandatangani oleh kedua-dua negara pada 27 Disember semasa Mesyuarat Khas Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) ketiga.

Kementerian Luar Thailand (MFA) menyatakan bahawa Kenyataan Bersama itu menetapkan anggota tentera terbabit akan dihantar pulang selepas gencatan senjata dipatuhi sepenuhnya selama 72 jam.

"Pembebasan ini juga adalah atas semangat Deklarasi Bersama antara Thailand dan Kemboja yang ditandatangani pada 26 Oktober 2025 di Kuala Lumpur," menurut MFA dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut MFA, pihak berkuasa Thailand telah memberi layanan terhadap 18 anggota tentera Kemboja itu selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, termasuk Konvensyen Geneva 1949, serta peraturan dan amalan kemanusiaan yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC).

Kementerian itu memaklumkan bahawa ICRC dibenarkan melawat tahanan secara berkala dan membantu memudahkan komunikasi antara anggota tentera terbabit dengan keluarga mereka.

"Penghantaran pulang ini dilaksanakan mengikut Konvensyen Geneva Ketiga berkaitan Layanan Terhadap Tawanan Perang," katanya.

Sebelum dihantar pulang, MFA menyatakan anggota tentera berkenaan telah menjalani pemeriksaan perubatan dan dimaklumkan mengenai hak mereka bagi memastikan proses penghantaran pulang itu dilakukan secara sukarela, selamat dan bermaruah.

Ia berkata, ICRC telah memaklumkan kepada keluarga anggota tentera mengenai kepulangan mereka, manakala wakil daripada ICRC dan Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT) turut hadir untuk memerhati proses penghantaran pulang itu.

"Penghantaran pulang 18 anggota tentera Kemboja ini mencerminkan perasaan muhibah dan pembinaan keyakinan, serta pematuhan kepada prinsip kemanusiaan antarabangsa," kata MFA.

Thailand turut menzahirkan harapan agar Kemboja dapat membalas perasaan muhibah itu melalui tindakan konkrit bagi mempromosikan keamanan yang mampan antara kedua-dua negara.

Pada Sabtu, Thailand dan Kemboja bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata segera, berkuat kuasa dari tengah hari waktu tempatan bagi menamatkan semua permusuhan sempadan, sekali gus menghentikan konflik yang tercetus semula pada 7 Disember.

Kenyataan Bersama itu ditandatangani oleh Menteri Pertahanan Thailand Jen (B) Nattaphon Narkphanit, yang juga Pengerusi Bersama GBC Thailand, dan Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Pertahanan Kemboja Jen Tea Seiha, yang merupakan Pengerusi Bersama GBC Kemboja.

Mesyuarat Khas GBC ketiga diadakan secara serentak di Prum di Wilayah Pailin, Kemboja, dan Ban Pak Kard di Wilayah Chanthaburi, Thailand.

Di bawah Kenyataan Bersama itu, dan atas semangat Deklarasi Bersama Kuala Lumpur yang ditandatangani pada 26 Oktober, 18 anggota tentera Kemboja yang ditahan di Thailand akan dihantar pulang selepas gencatan senjata dipatuhi sepenuhnya selama 72 jam.

Kedua-dua pihak juga bersetuju dengan beberapa langkah utama, termasuk memastikan keselamatan pasukan tinjauan bersama di lapangan, terutamanya di kawasan yang terkesan oleh periuk api.

Bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan, Thailand dan Kemboja bersetuju untuk menggunakan Unit Penyelarasan Sempadan masing-masing bagi membantu mengekalkan gencatan senjata, mengurus keadaan di lapangan, menangani insiden tepat pada masanya dan mengelakkan salah faham, di bawah pemerhatian dan pengesahan AOT.

Kedua-dua negara akan mengekalkan komunikasi tetap dan langsung antara menteri pertahanan serta ketua angkatan tentera masing-masing bagi membolehkan tindak balas segera terhadap situasi mendesak yang tidak dapat diselesaikan di peringkat tempatan.

Jika perlu, wakil peringkat tinggi daripada kedua-dua pihak akan bertemu untuk menangani isu-isu yang berlaku di lapangan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2507566