Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup tinggi pada Selasa, disokong oleh harga minyak mentah yang stabil dan trend bercampur-campur dalam niaga hadapan getah serantau, kata peniaga.
“Niaga hadapan getah Jepun meningkat untuk sesi kelapan berturut-turut hari ini, disokong oleh permintaan daripada sektor hiliran yang kukuh.
“Permintaan daripada sektor hiliran untuk getah kekal positif manakala bekalan bahan mentah dari negara pengeluar utama di luar negara adalah tidak lancar,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata harga minyak adalah stabil selepas melonjak lebih daripada dua peratus pada sesi sebelumnya berikutan pasaran menilai risiko bekalan berkaitan dengan ketegangan Rusia-Ukraine dan rundingan damai.
Bagaimanapun, katanya peniaga kekal berhati-hati menjelang petunjuk dasar utama Amerika Syarikat (AS) daripada minit mesyuarat Rizab Persekutuan yang akan dikeluarkan hari ini.
“Kenaikan seterusnya dikekang oleh ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar AS dan ketidaktentuan mengenai penurunan kadar faedah AS pada masa depan dan perkembangan geopolitik di Timur Tengah baru-baru ini,” katanya.
Pada 3 petang, Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 meningkat dua sen kepada 754.0 sen sekilogram manakala susu getah pukal menambah satu sen kepada 576.0 sen sekilogram.
Pasaran getah Kuala Lumpur akan ditutup pada Rabu, 31 Dis 2025 dan Khamis, 1 Jan 2026 sempena cuti Tahun Baharu. Dagangan akan disambung semula pada Jumaat, 2 Jan 2026.
-- BERNAMA