GEORGE TOWN, 30 Dis (Bernama) -- Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sedang meneliti dan mengkaji kesesuaian pelaksanaan konsep pusat beli-belah mesra haiwan di Gurney Paragon Mall, di sini susulan kebimbangan mengenai sensitiviti umat Islam serta untuk kepentingan semua pihak.
MBPP dalam kenyataan memaklumkan lawatan tapak diadakan hari ini yang dihadiri Datuk Bandar MBPP Datuk A. Rajendran dan wakil majlis, dengan pengurusan Gurney Paragon Mall membentangkan peraturan dalaman yang sedang diguna pakai, selain membincangkan langkah penambahbaikan bagi memperkukuh kawalan dan penguatkuasaan.
Menurut kenyataan itu, antara peraturan yang dipersetujui ialah pemasangan papan tanda yang lebih jelas di kawasan lif mesra haiwan, penetapan berat maksimum haiwan peliharaan tidak melebihi 15 kilogram serta mewajibkan penggunaan kereta sorong atau carrier pada setiap masa.
“Kebenaran membawa haiwan peliharaan juga dihadkan kepada dua hari seminggu, iaitu setiap Selasa dan Rabu, manakala kawalan keselamatan akan diperkukuh bagi memastikan semua syarat dipatuhi sepenuhnya,” menurut kenyataan itu hari ini.
Di samping itu, pemilik haiwan juga diwajibkan menggunakan lampin khas, hanya menggunakan lif yang ditetapkan serta memastikan sisa haiwan dilupuskan dengan baik.
MBPP memaklumkan tanggungjawab mematuhi peraturan dalaman adalah terletak kepada pihak pengurusan kompleks, manakala pengunjung diminta menjaga ketenteraman dan kebersihan demi sensitiviti masyarakat umum.
"Pada masa ini, majlis tidak mempunyai satu peraturan khusus mengenai kebenaran membawa haiwan peliharaan ke pusat beli-belah dan kini sedang meneliti kesesuaian pelaksanaannya dengan mengambil kira kepentingan awam serta keharmonian masyarakat berbilang kaum," katanya.
-- BERNAMA