POLITIK

PAS Tidak Sertai Barisan Exco Baharu Perlis - Takiyuddin

30/12/2025 01:26 PM

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- PAS memutuskan untuk tidak menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) baharu yang akan dibentuk oleh Menteri Besar Perlis Datuk Abu Bakar Hamzah, kata Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Sehubungan itu, beliau berkata semua anggota EXCO sedia ada daripada PAS akan melepaskan jawatan masing-masing sebagai tanda solidariti, seiring dengan peletakan jawatan Menteri Besar terdahulu, Mohd Shukri Ramli.

“Ketetapan ini dibuat selepas PAS Pusat meneliti dan menimbang situasi semasa berkaitan Kerajaan Negeri Perlis dan Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Namun, pada masa sama, Takiyuddin menegaskan PAS komited untuk terus mengekalkan kelangsungan dan keberadaan parti dalam Kerajaan Negeri Perlis, selaras dengan mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau menyeru semua pihak bermuhasabah serta mengambil iktibar daripada perkembangan yang berlaku, selain mengambil langkah proaktif bagi memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap PN.

“PAS juga menawarkan kesediaan untuk menerajui PN bagi memperkasakan organisasi dan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) serta PRU-16,” katanya.

Abu Bakar, 57, yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, dilantik sebagai Menteri Besar Perlis baharu selepas mengangkat sumpah pada Ahad lalu, susulan peletakan jawatan Mohd Shukri Ramli, ADUN Sanglang dari PAS, pada 25 Dis lepas atas faktor kesihatan.

Takiyuddin menegaskan PAS tetap menghormati lunas undang-undang, prinsip demokrasi, konsep Raja Berperlembagaan, serta kebijaksanaan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, demi kemaslahatan negeri dan rakyat.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika dihubungi memaklumkan satu mesyuarat khas akan diadakan dalam masa terdekat bagi menentukan pengerusi baharu PN susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi gabungan itu, berkuat kuasa 1 Jan ini.

Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan itu melalui kenyataan media yang dimuat naik di Facebook pagi ini selepas lima tahun mengetuai gabungan itu sejak 7 Ogos 2020, iaitu tarikh ia didaftarkan secara rasmi.

Peletakan jawatan beberapa pemimpin lain turut diumumkan, termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung PN berkuat kuasa 1 Jan 2026 dan ADUN Bukit Kepong Datuk Dr Sahruddin Jamal, sebagai Pengerusi PN Johor.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2507203