KUALA LUMPUR, 28 Dis (Bernama) -- Motosikal Yamaha Y15 yang diubah suai secara ekstrem dengan kos mencecah hingga RM18,000 antara 65 kenderaan yang disita dalam tiga operasi berasingan dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur malam tadi.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata operasi di Jalan Genting Sempah, Tol Gombak serta Jalan Ampang melibatkan sekitar Menara Berkembar KLCC itu, memberi tumpuan khusus kepada penunggang motosikal yang membawa kenderaan mereka secara berbahaya serta pengubahsuaian tidak mengikut spesifikasi teknikal yang ditetapkan.
“Dalam ketiga-tiga operasi yang tamat pada 5 pagi ini, JPJ telah memeriksa 3,244 kenderaan, mengeluarkan 811 notis saman dan menyita 65 motosikal manakala penunggang yang ditahan melibatkan remaja berusia 14 hingga 25 tahun termasuk warga asing,” katanya pada sidang media selepas tamat operasi di sini hari ini.
Beliau berkata antara kesalahan utama yang dikesan termasuk menunggang dengan aksi berbahaya seperti “Superman”, “willy” dan “zigzag”, selain aktiviti lumba haram yang mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
“Penguatkuasaan yang bermula serentak pada 10 malam dilaksanakan susulan aduan orang awam berkaitan kebisingan serta gangguan jalan raya yang dilakukan oleh penunggang motosikal terbabit,” katanya.
Muhammad Kifli berkata hingga hari ini, sebanyak 1,002 motosikal telah disita atas pelbagai kesalahan, khususnya melibatkan pengubahsuaian ekstrem dan aktiviti tunggangan berbahaya.
Beliau berkata JPJ juga mengambil tindakan lebih tegas terhadap penggunaan nombor pendaftaran “fancy”, ekstrem dan mengelirukan dengan hukuman denda minimum RM5,000 hingga maksimum RM10,000 mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“JPJ telah membawa kes ini ke mahkamah dan hukuman minimum RM5,000 hingga RM10,000 bagi kesalahan itu telah dikenakan. Kami juga dapati sejak kebelakangan ini, banyak motosikal dan kereta menggunakan nombor “fancy” dan ekstrem hingga mengelirukan agensi penguat kuasa lain,” katanya.
Mengulas operasi ke atas kenderaan mewah, beliau berkata Op Luxury yang dilancarkan 1 Julai lepas menyasarkan pemilik kenderaan mewah yang gagal memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM).
“Setakat ini, 915 kenderaan mewah telah disita dan pemilik berkenaan sudah berada dalam radar kami dan mereka diingatkan supaya segera memperbaharui cukai jalan bagi mengelakkan tindakan undang-undang,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Muhammad Kifli berkata diskaun saman MADANI JPJ di bawah Program Rancakkan MADANI sebanyak 50 peratus masih berkuat kuasa hingga 30 Dis ini dan setakat ini 702,606 notis saman telah dijelaskan melibatkan kutipan bernilai RM93.51 juta.
Bagaimanapun, beliau berkata masih terdapat 4.76 juta saman tertunggak dengan nilai melebihi RM1 bilion masih belum dilunaskan dan orang ramai digesa mengambil peluang menyelesaikan saman sebelum tempoh diskaun tamat.
-- BERNAMA