KUALA TERENGGANU, 26 Dis (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu menyita 103 kenderaan dalam Operasi Penguatkuasaan Warga Asing (Ops PEWA) yang dijalankan dari tempoh 1 Jan hingga semalam.
Pengarah JPJ Terengganu Mohd Zamri Samion berkata kenderaan termasuk motosikal dan kereta itu ditahan dalam 12 siri Ops PEWA yang dilaksanakan secara besar-besaran untuk menghalang warga asing yang tidak mempunyai kelayakan dan kenderaan sah daripada terus mencabar undang-undang yang ada.
Beliau berkata selain itu, sebanyak 679 saman juga telah dikeluarkan dalam tempoh sama atas pelbagai kesalahan termasuk tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL), tiada perlindungan insurans, Lesen Memandu Kenderaan (LKM) tamat tempoh dan kesalahan teknikal lain.
"Warga asing yang diambil tindakan termasuklah 79 orang dari Myanmar, Bangladesh (15 orang), China (empat orang), Pakistan (tiga orang), serta masing-masing seorang dari Indonesia dan Kemboja.
"Operasi dijalankan hasil aduan orang ramai yang risau dengan kebanjiran warga asing di negeri ini sejak akhir-akhir ini," katanya pada sidang media Ops PEWA di Pejabat JPJ Terengganu, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Zamri berkata JPJ Terengganu turut memberikan tumpuan kepada usaha mengesan pemilik kenderaan warga tempatan yang menyewakan kenderaan mereka kepada warga asing tanpa lesen memandu sah serta insurans kenderaan.
Menurut beliau, tindakan itu menimbulkan masalah apabila warga asing yang memandu kenderaan tanpa lesen sah terlibat dengan kemalangan, sekali gus akan menyukarkan proses tuntutan insurans.
"Kebanyakan mereka (warga asing) tidak memahami undang-undang serta membahayakan pengguna jalan raya lain apabila memandu tanpa lesen.
"Jadi, kita akan merujuk kepada ibu pejabat tentang cara untuk tindakan lebih tegas atau memberikan tekanan kepada pemilik kenderaan yang tidak bertanggungjawab," katanya.
-- BERNAMA