JENAYAH & MAHKAMAH

Remaja Lelaki Dikhuatiri Lemas Di Machang

27/12/2025 12:04 AM

KOTA BHARU, 26 Dis (Bernama) -- Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Ulu Sat, Machang petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Machang Ahmad Alfarra Mohamad Zain berkata pihaknya menerima panggilan pada 4.33 petang dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 30 minit kemudian.

"Operasi mencari dan menyelamat segera dijalankan dengan anggota melaksanakan pencarian di permukaan air di sekitar sungai berkenaan sejauh satu kilometer bagi mengesan mangsa," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Ahmad Alfarra berkata sebanyak lima anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari BBP Pengkalan Chepa turut digerakkan bagi membantu operasi berkenaan.

"Operasi ditangguhkan pada 7.47 malam tadi dan akan bersambung semula 8 pagi esok," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Machang Supt Ahmad Shafiki Hussin berkata remaja berkenaan dipercayai terjun ke Sungai Sawa di Kampung Belukar, petang tadi untuk menyelamatkan abangnya.

Beliau berkata siasatan mendapati abang mangsa yang berusia 15 tahun terjatuh ke dalam sungai ketika sedang duduk di tebing sebelum mangsa yang berada berhampiran telah bertindak terjun bagi membantu.

“Abang mangsa bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada tembok penghadang air manakala mangsa dipercayai dihanyutkan arus deras berikutan hujan lebat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata susulan kejadian itu, polis melancarkan operasi mencari dan menyelamat dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Machang dan hingga kini, pihaknya belum menemukan sebarang petunjuk mengenai keberadaan mangsa.

Ahmad Shafiki turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu supaya tampil menyalurkannya kepada balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2506430