AM

FEZAKAT 2025 Tingkatkan Kesedaran, Kefahaman Zakat Kepada Masyarakat

27/12/2025 06:10 PM

KUALA TERENGGANU, 27 Dis (Bernama) -- Festival Zakat Terengganu (FEZAKAT) 2025 anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) bertujuan mendekatkan urusan zakat kepada masyarakat dalam suasana lebih mesra, terbuka dan mudah diakses.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM Prof Madya Datuk Dr Ahmad Azrin Adnan berkata festival yang berlangsung di Kuala Terengganu City Centre (KTCC) Mall bermula semalam hingga 31 Dis itu bukan sahaja membolehkan orang ramai menunaikan zakat dengan lebih selesa, malah turut menyediakan khidmat nasihat, taksiran zakat serta pelbagai aktiviti untuk seisi keluarga.

“Festival itu bertujuan memastikan pembayar zakat di Terengganu mempunyai satu lagi kaedah untuk pembayaran secara bersemuka selain daripada secara dalam talian. Jadi, sudah tentu festival zakat itu akan memberi kemudahan kepada orang ramai untuk membuat taksiran zakat.

“Pada masa sama, mereka mendapat kesempatan untuk memperoleh banyak informasi tentang zakat termasuk zakat perniagaan, zakat pendapatan, zakat galian, zakat tanaman dan sebagainya yang sudah tentu menambahkan lagi pengetahuan kepada masyarakat,” katanya selepas Majlis Perasmian FEZAKAT 2025 di sini hari ini.

Selain itu, Ahmad Azrin berkata festival itu juga menjadi platform pendedahan awal kepada generasi muda mengenai kewajipan zakat melalui pengisian program bersifat pendidikan termasuk pertandingan mewarna bertemakan zakat.

“Program outreach ini dilaksanakan bagi memastikan masyarakat di Terengganu khususnya kanak-kanak memahami kepentingan berzakat sejak kecil, sekali gus memperkukuh hubungan MAIDAM dengan masyarakat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru umat Islam di Terengganu agar mengambil peluang menyempurnakan pembayaran zakat sebelum 31 Dis ini bagi memastikan ibadah itu dilaksanakan sempurna sebagai tanggungjawab kepada Allah SWT.

“Pada masa sama, pembayar zakat juga layak menikmati rebat potongan cukai 100 peratus menerusi pembayaran zakat bermula 26 Dis hingga 31 Dis 2025,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Azrin berkata pihaknya turut meluahkan rasa syukur apabila terdapat bekas penerima bantuan zakat yang kini beralih status menjadi pembayar zakat pada tahun ini.

“Berdasarkan rekod tidak rasmi, jumlah asnaf fakir dan miskin di Terengganu kini dianggarkan 29,500 orang dan daripada jumlah itu, ia mencatatkan penurunan sebanyak tiga peratus pada tahun ini.

“Ini bermakna ada dalam kalangan mereka yang berjaya meningkatkan pendapatan isi rumah sehingga tidak lagi dikategorikan sebagai asnaf fakir dan miskin. Sudah tentu ini menjadi satu kejayaan kepada MAIDAM dan kami akan terus berusaha melihat lebih banyak lagi golongan asnaf berjaya berubah daripada penerima bantuan zakat kepada pembayar zakat,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2506586