KOTA BHARU, 27 Dis (Bernama) -- Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 secara sekali beri yang boleh dibelanjakan hingga 31 Dis ini memberi sinar kelegaan kepada golongan berpendapatan rendah walaupun terdapat segelintir pihak yang meremehkannya.
Bagi golongan kurang berkemampuan, RM100 itu amat bermakna ditambah dengan pemberian SARA secara bulanan yang sangat membantu mereka berdepan dengan tekanan kos sara hidup dan perbelanjaan akhir tahun.
Seorang ibu tunggal Nor Rizan Muhamad, 48, dari Kampung Padang Bongor, di sini berkongsi kepada Bernama bahawa bantuan RM100 itu banyak membantunya dalam pengurusan kewangan keluarga.
“Walaupun tidak besar, namun ia sangat membantu. Sebelum ini saya memperuntukkan kira-kira RM200 untuk barangan asas, tetapi dengan adanya bantuan ini, perbelanjaan dapat dikurangkan hampir separuh,” katanya.
Nor Rizan berkata penjimatan itu membolehkannya membelanjakan lebihan wang untuk keperluan lain, sekali gus mengurangkan tekanan kewangan.
Sementara itu, seorang lagi penerima, Sukamal Rajib, 52, berharap inisiatif seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang.
Menurut beliau, bantuan berkenaan amat bermakna, khususnya kepada golongan berpendapatan rendah dan mereka yang terkesan dengan tekanan ekonomi semasa.
“Bantuan seperti ini wajar diteruskan dan dipertingkatkan selaras dengan kos sara hidup yang semakin meningkat. Terima kasih kepada Kerajaan MADANI atas keprihatinan terhadap kebajikan rakyat,” katanya.
Pada 18 Dis lepas, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang serta Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan kadar purata penggunaan SARA yang menghampiri 100 peratus.
Beliau berkata kerajaan tidak berdepan cabaran besar dalam pelaksanaan SARA setakat ini walaupun ia melibatkan lebih 20 juta transaksi pengguna.
-- BERNAMA