PASARAN

Pasaran Getah Dijangka Meningkat Sedikit Minggu Depan Ekoran Kebimbangan Bekalan

20/12/2025 11:04 AM

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Pasaran getah dijangka meningkat sedikit minggu depan di tengah-tengah kebimbangan terhadap bekalan akibat hujan lebat berterusan di daerah pengeluar getah di Thailand dan Malaysia, kata pakar industri Denis Low.

Beliau berkata hujan yang berterusan, ditambah pula dengan amaran cuaca di Thailand dan risiko banjir serta tanah runtuh di Malaysia, berkemungkinan mengurangkan pengeluaran getah dan mengganggu logistik.

“Berdasarkan kepada keadaan ini, harga getah dijangka meningkat sedikit, disokong oleh permintaan yang lebih kukuh untuk getah pukal dan getah kering,” katanya.

Beliau menambah turun naik kadar pertukaran mata wang dan harga minyak mentah turut menyumbang kepada ketidakstabilan pasaran.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia untuk Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) turun satu sen kepada 723 sen sekilogram, manakala lateks pukal turut susut 0.5 sen kepada 575 sen sekilogram.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2504721