KUALA TERENGGANU, 25 Dis (Bernama) -- Lebih 1 juta rakyat Terengganu mendapat manfaat daripada 1,026 siri penganjuran Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) yang dijalankan di seluruh negeri dari tempoh 1 Jan hingga 21 Dis lepas.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu Mohd Mufsi Lat berkata ia melibatkan pemberian subsidi sekitar RM14 juta yang disalurkan oleh kerajaan Persekutuan bagi membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Beliau berkata program itu melibatkan lima model pelaksanaan iaitu 444 siri di dalam premis, secara terbuka (19 siri), secara bergerak (536 siri), di dalam pasar (14 siri) dan dalam kampus (13 siri).
"Lebih RM52 juta hasil jualan berjaya dicatat daripada 1,026 penganjuran PJRM dalam tempoh 1 Jan hingga 21 Dis lepas. Untuk tahun ini, kita ada kira-kira 20 lagi siri PJRM yang akan dilaksanakan di lapan (kawasan) Parlimen termasuk dalam premis, di pasar dan secara bergerak.
“Orang ramai boleh mengikuti saluran media sosial rasmi KPDN Terengganu bagi mendapatkan maklumat lengkap mengenai PJRM," katanya kepada pemberita pada PJRM Jualan Kembali Ke Sekolah 2026 dan Belanja Jimat Bersama KPDN Terengganu di Noor Arfa Craft Complex (NACC) Cendering di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Mufsi berkata lebih 200 Unit Penyimpanan Stok (SKU) termasuk barang makanan dan kelengkapan sekolah ditawarkan melalui PJRM tersebut dengan harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah.
Beliau berkata PJRM yang berlangsung tiga hari bermula hari ini diadakan secara skala lebih besar berbanding biasa bagi memberikan peluang kepada semua lapisan masyarakat membuat persediaan sekolah serta membeli barangan dapur di tempat yang sama.
"Selain di NACC, PJRM Kembali Ke Sekolah dan Belanja Jimat KPDN turut berlangsung di 12 lokasi lain di seluruh Terengganu. Oleh itu, KPDN menyeru seluruh rakyat Terengganu mengambil peluang ini untuk berjimat serta memastikan persediaan sekolah anak-anak berjalan lancar," katanya.
Sementara itu, pengunjung Khairul Affendi Alwi, 38, berkata dia berjaya menjimatkan perbelanjaan kira-kira RM300 dengan membeli barangan keperluan sekolah dan barangan dapur di PJRM berkenaan.
Khairul Affendi berkata sebagai ketua keluarga, dia perlu bijak merancang serta mengurus perbelanjaan bagi mengelakkan berdepan masalah kewangan pada masa akan datang.
"Tujuan utama saya datang hari ini memang untuk beli baju dan beg sekolah untuk tiga anak yang merupakan murid tahun dua dan lima serta tingkatan dua. Sambil-sambil itu, saya juga membeli barang dapur kerana harga ayam dan daging yang dijual di sini (PJRM) sangat berpatutan,” katanya.
“Daging tempatan yang biasanya RM35 sekilogram turun kepada RM20 sekilogram malah ayam pun hanya RM6 sekilogram. Kiranya dapat juga jimat sebanyak RM300 hari ini," katanya.
Seorang lagi pengunjung Siti Zailawati Abdul Rahim, 47, berkata dia tidak pernah melepaskan peluang berkunjung ke PJRM untuk mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih murah sekali gus menjimatkan perbelanjaan seharian.
"Kalau ada PJRM di sekitar Kuala Terengganu atau Kuala Nerus, saya akan pergi awal untuk membeli pelbagai barangan basah seperti ikan, daging dan ayam yang dijual pada harga sangat murah.
"Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin tinggi, rakyat perlu bijak mengambil peluang yang disediakan kerajaan untuk merancang perbelanjaan," katanya.
-- BERNAMA